KUALA LUMPUR – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) konsisten dalam menentukan CAP55 direalisasikan untuk memastikan kesiagaan kuasa udara sentiasa berada pada tahap yang diperlukan dengan adanya aset baharu.
Sehubungan itu, Unmanned Aerial System (UAS), Maritime Patrol Aircraft (MPA), dan pesawat LCA dijangka akan tiba menjelang 2025 hingga 2027 mengatasi jurang keupayaan sedia ada.
Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, pemeriksaan fizikal pesawat FLIT-LCA akan dilaksanakan apabila rundingan harga berjaya dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
“Pihak Kementerian Pertahanan (Mindef) telah mendapat kelulusan daripada pihak Kementerian Kewangan (MOF) untuk melaksanakan rundingan harga dengan petender yang terpilih.
“Pesawat ini dijangka akan tiba pada penghujung tahun 2025 dan bakal beroperasi pada tahun 2026,” katanya pada sesi wawancara di Wisma Perwira ATM, di sini hari ini.
Bagi Unmanned Aerial System (UAS), Affendy memaklumkan, perolehannya untuk kategori MALE telah mendapat kelulusan melalui Lembaga Perolehan Kementerian Pertahanan pada 30 Jun lalu.
“Buat masa ini, pihak TUDM masih menunggu perakuan kelulusan MOF dan pesawat ini dijangka tiba pada awal tahun 2025,” ujarnya.
Seterusnya, bagi perolehan pesawat MPA, Afendy memaklumkan keputusan akhir Lembaga Perolehan Kementerian Pertahanan telah diangkat kepada MOF.
“Mindef kini sedang menunggu kelulusan daripada MOF bagi meneruskan proses perolehan selanjutnya iaitu LOl, LOA dan rundingan kontrak.
“TUDM bakal menerima pesawat pertama pada awal tahun 2026 dan pesawat kedua pada tahun 2027,” jelasnya.
Affendy memberitahu, garis masa perolehan aset baharu adalah amat kritikal dan perlu dilaksanakan mengikut masa yang telah dirancang bagi membolehkan TUDM mengatasi jurang keupayaan sedia ada.
“Hal ini merangkumi isu keusangan, jumlah aset yang tidak mencukupi, sistem dan teknologi yang telah ketinggalan. – KOSMO! ONLINE