fbpx

RM3 juta dibelanja setahun atasi masalah perosak, penyakit tanaman – Mafi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ronald (tengah) pada Majlis Perasmian Simposium Biosekuriti Tumbuhan Tahun 2022. FOTO/ NOR SHAFAWATI YUP

SEREMBAN – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) melalui Jabatan Pertanian telah membelanjakan kira-kira RM3 juta setahun bagi mengurus dan mengatasi masalah perosak serta penyakit tanaman di negara ini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, jumlah itu terpaksa ditanggung oleh kerajaan dalam tempoh lebih sedekad lalu sejak 2010 sehingga kini.

“Laporan di seluruh dunia merekodkan, hampir 40 peratus tanaman makanan musnah akibat serangan perosak dan penyakit tumbuhan setiap tahun dan Malaysia juga tidak terkecuali dalam menghadapi fenomena ini.

“Pemerebakan atau ‘outbreak’ perosak dan penyakit ini melibatkan kos yang besar kepada kerajaan dari segi pengurusan dan program penghapusannya,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Simposium Biosekuriti Tumbuhan Tahun 2022 bertemakan ‘Pemerkasaan Biosekuriti Tumbuhan 2022’ di sini hari ini.

Ronald berkata, isu biosekuriti pada masa kini lebih terdedah kepada kemasukan perosak baharu dan pergerakan perosak rentas sempadan akibat perubahan iklim dengan cuaca yang ekstrem serta pelbagai aktiviti manusia yang mengubah ekosistem setempat.

Menurut Ronald, kementerian melalui Jabatan Pertanian yang juga sebagai sebahagian daripada Organisasi Perlindungan Tumbuhan Kebangsaan (NPPO) sentiasa berusaha memastikan usaha pelaksanaan biosekuriti tanaman dan tumbuhan sentiasa menjadi keutamaan dalam memacu usaha ke arah pertanian yang lebih mampan.

Jelas beliau, pelaksanaan program pengurusan perosak bersepadu dalam dalam rantaian pengeluaran makanan, penggunaan racun perosak secara terkawal dan pengurusan sumber tanah yang berkesan juga adalah amat penting dalam biosekuriti tanaman seterusnya meningkatkan hasil serta kualiti.

Beliau berkata, kerajaan juga akan terus mempertingkatkan kawalan dan penguatkuasaan di sempadan khususnya di pintu masuk negara bagi memastikan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak berbahaya dapat dibendung serta dikawal.

“Sehubungan itu, Jawatankuasa Sekuriti Makanan Negara secara dasar telah bersetuju dengan pewujudan Pusat Sehenti Kuarantin Negara (OSQC) di pintu masuk utama pengimportan dan pengeksportan hasil pertanian dan agromakanan negara.

“Aspek biosekuriti makanan perlu dipertingkatkan dan kami telah mencadangkan supaya diwujudkan OSQC dan ia telah luluskan di peringkat Kabinet.

“Saya harap ia dapat menguruskan aspek ini, sekarang ini dalam peringkat perincian pelbagai agensi dan jabatan. Sebagai permulaan akan dibuat di Pelabuhan Klang dan untuk pelan jangka akan diperluaskan di semua pintu masuk negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI