BEIJING – Sebilangan penduduk yang dikenakan perintah berkurung di beberapa kawasan di seluruh China mengadu bahawa mereka berdepan kekurangan bekalan makanan dan barangan keperluan harian, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC) semalam.
Berpuluh-puluh juta penduduk di sekurang-kurangnya 30 wilayah di negara itu dikenakan sekatan Covid-19 dan diarah untuk kekal berada di rumah.
“Sudah 15 hari (perintah berkurung dikenakan). Kami kehabisan tepung, beras dan telur.
“Beberapa hari lalu, kami kehabisan susu untuk anak-anak,” kata seorang penduduk wilayah Xinjiang, barat China.
Dasar sifar Covid China menyebabkan pihak berkuasa terpaksa bergelut untuk melaksanakan perintah berkurung yang ketat meskipun hanya sedikit kes yang dicatatkan.
Semalam negara itu hanya mencatatkan 949 kes baharu Covid-19.
Di Xinjiang, perintah berkurung selama beberapa minggu yang dikuatkuasakan di Wilayah Autonomi Ili Kazakh, dekat sempadan Kazakhstan, membuatkan penduduk yang terdesak merayu meminta bantuan di media sosial.
Di ibu negeri Ili, Yining, dokumen yang dikongsikan secara online memaparkan lebih 300 permintaan kecemasan bagi bekalan makanan, ubat dan tuala wanita tersebar meluas.
“Saya sudah kehabisan wang untuk membeli bekalan. Isteri saya hamil dan kami mempunyai dua anak.
“Kami kehabisan gas memasak dan isteri saya perlu melakukan pemeriksaan perubatan,” kata seorang penduduk.
Sementara itu, di Guizhou, pihak berkuasa melaksanakan perintah berkurung di kawasan ibu kota wilayah itu tanpa sebarang amaran, menyebabkan 500,000 penduduk terkandas di rumah tanpa sempat membuat persiapan.
Lif-lif dilaporkan tidak berfungsi bagi menghalang penduduk meninggalkan rumah, lapor akhbar The Guardian.
“Kami tidak boleh membeli bekalan secara online kerana perkhidmatan penghantaran tidak boleh dilakukan selain pasar raya ditutup.
“Adakah pemerintah menganggap kami seperti haiwan atau mereka mahu kami mati?” kata seorang pengguna di laman media sosial Weibo. – AGENSI