fbpx

Rakyat beratur 12 jam untuk lihat keranda Ratu Elizabeth II

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai beratur untuk melihat kenderaan yang membawa keranda mendiang Ratu Elizabeth II yang diarak sekitar Edinburgh ke Istana Holyroodhouse, kelmarin. – AFP

LONDON – Rakyat Britain yang beratur panjang untuk melihat keranda mendiang Ratu Elizabeth II buat kali terakhir, mungkin perlu menunggu sehingga 12 jam dalam barisan yang dijangka meliputi jarak sejauh 4.8 kilometer di sekitar pusat bandar kota London, lapor akhbar The Sun kelmarin.

Ketua Whitehall yang bertanggungjawab terhadap aspek logistik bagi istiadat lima malam bersejarah itu pada awalnya menganggarkan kira-kira 40,000 orang akan tampil untuk menyaksikan perarakan keranda Ratu Elizabeth II.

Bagaimanapun, pihak berkuasa percaya angka sebenar adalah jauh lebih besar dengan lebih ramai rakyat jelata akan berbaris sepanjang malam.

Mereka menganggarkan angka itu bakal melepasi 200,000 orang yang tampil memberikan penghormatan terakhir kepada bonda mendiang Ratu Elizabeth yang mangkat pada 2002.

Jasad Ratu Elizabeth II yang mangkat pada usia 96 tahun sebelum itu diterbangkan dari Scotland selepas diarak di sekitar Edinburgh menuju ke Istana Holyroodhouse. 

Ia dijangka tiba di London hari ini (Selasa) untuk ditempatkan di Dewan Westminster bagi memberi peluang kepada rakyat dan seluruh dunia memberikan penghormatan terakhir.

Menurut perancangan, penduduk yang ingin menyertai acara perarakan yang secara rasmi bermula esok (Rabu) perlu melalui pemeriksaan keselamatan seperti di lapangan terbang dengan hanya beg-beg kecil dibenarkan untuk dibawa.

Beberapa pasukan perubatan berhampiran hospital Guy’s dan St Thomas juga akan bersiap sedia sekiranya terdapat individu yang jatuh sakit.

Pasukan perancang yang mengikuti protokol Operasi London Bridge telah mengenal pasti sebuah taman bersebelahan Tower Bridge sebagai lokasi permulaan barisan.

Ia kemudian akan bergerak ke arah sepanjang Tebing Selatan Sungai Thames, melalui London Bridge, Blackfriars Bridge, Globe Theatre, Tate Modern dan London Eye.

Sesiapa yang didapati mempunyai beg besar perlu keluar dari barisan dan meninggalkan barangan tersebut di sebuah taman di Lambeth Palace sebelum dibenarkan kembali menyertai barisan.

Rakyat yang berkabung kemudian akan menyeberangi Lambeth Bridge sebelum berpatah balik bagi memasuki Dewan Westminster.

Lokasi yang akan menempatkan keranda Ratu Elizabeth II itu akan dibuka 24 jam sehari bagi membolehkan orang ramai melihat sendiri dan memberikan penghormatan terakhir kepada baginda.

Kesemua proses dari lokasi permulaan sehingga akhir itu dijangka mengambil masa selama 12 jam. 

Selepas istiadat di Dewan Westminster yang akan turut dihadiri oleh anakanda Ratu Elizabeth II iaitu Raja Charles III, Puteri Anne, Putera Andrew dan Putera Edward, jasad baginda akan dibawa ke Istana Windsor untuk disemadikan di Gereja St. George pada 19 September. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI