NEW DELHI – Seorang pengantin lelaki di negeri Tamil Nadu, India, menyediakan kontrak bagi menetapkan syarat kebenaran kepadanya untuk bermain kriket pada hujung minggu meskipun selepas berkahwin, lapor laman berit India Today semalam.
Hariprasad yang merupakan seorang profesor sebuah kolej swasta di bandar Theni, melangsungkan perkahwinan dengan seorang gadis bernama Pooja pada Ahad lalu.
Bagaimanapun, ketika majlis berlangsung, rakan-rakannya membawa sekeping dokumen kontrak untuk ditandatangani oleh Pooja sebelum mengahwini lelaki tersebut.
“Saya, Pooja, dengan ini membenarkan Hariprasad untuk bermain kriket pada hari Sabtu dan Ahad untuk pasukan SuperStar Cricket,” demikian menurut ikrar pada kontrak tersebut.
Pengantin perempuan yang pada awalnya terkejut kemudian menurunkan tandatangan sambil disambut dengan kelegaan oleh rakan-rakan suaminya.
Hariprasad merupakan seorang peminat sukan kriket yang turut menjadi kapten bagi pasukan SuperStar Cricket.
Idea untuk menulis kontrak tersebut dicadangkan oleh rakan-rakannya bagi memastikan Hariprasad tidak berdepan sebarang halangan untuk meneruskan minatnya selepas berkahwin. – Agensi