JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan sikap tidak bertanggungjawab seorang pemandu sebuah supercar yang membuang sampah merata-rata di atas jalan raya, lapor program berita Liputan6 hari ini.
Berdasarkan video yang dimuat naik di laman Instagram, kereta mewah berwarna kuning itu dilihat sedang berhenti di sebuah persimpangan lampu isyarat.
Tingkap kereta tersebut kemudian dibuka separuh dan disusuli tindakan pemandunya yang membuang sampah ke jalan raya.
“Kereta mahal begini sememangnya tidak memiliki tempat untuk menyimpan sampah ya?” demikian menurut keterangan yang ditulis pada video tersebut.
Hantaran itu menjadi tular dan menerima kecaman daripada netizen yang menyelar sikap pemandu berkenaan.
“Mungkin otaknya dicagar sebagai jaminan untuk membeli supercar,” kata seorang netizen.
“Bila Tuhan beri ujian, mengeluh. Padahal tidak sedar diri sendiri menzalimi alam sekitar,” ujar seorang pengguna lain. – Agensi