KETIKA bersenam, aspek keselesaan dan kesesuaian pakaian adalah amat penting bagi memastikan anda sentiasa berasa selesa sepanjang melakukan aktiviti lasak.
Tidak ramai yang menyedari bahawa pemilihan pakaian sukan yang benar-benar mengikut saiz dan bentuk tubuh ketika bersukan sebenarnya amat penting untuk keselesaan optimum ketika bersenam.
Menyedari hakikat itu, seorang usahawan muda dari Singapura mengambil keputusan mewujudkan jenama pakaian sukannya sendiri yang bukan sahaja sesuai dengan pelbagai aktiviti tetapi direka khusus buat saiz badan wanita Asia.
Pengasas Butter, Olivia Yiong, 28, berkata idea untuk mengasaskan jenama pakaian sukan miliknya sendiri timbul ketika pandemik 2020 selepas mengakui berdepan kesukaran untuk mencari pakaian sukan yang sesuai dengan tubuh wanita Asia.
“Memandangkan kita berada dalam perintah berkurung akibat pandemik, saya mendapati orang ramai mula melakukan senaman di rumah bagi membantu fizikal dan mental mereka kekal sihat.
“Saya juga begitu dan apabila saya mahu mencari pakaian sukan yang sesuai, saya mendapati tidak banyak pakaian sukan yang sesuai buat wanita Asia,” ujarnya.
Tambah Olivia, wanita Asia secara lazimnya memiliki ukur lilit dada dan pinggul yang lebih kecil berbanding wanita Barat, selain mempunyai ketinggian yang lebih rendah.
Ia menjadikan Olivia berdepan kesukaran untuk mendapatkan pakaian yang benar-benar selesa dan tidak membataskan pergerakannya ketika bersenam.
“Justeru, saya bersama seorang lagi rakan kongsi iaitu Tiffany Chng kemudian memperkenalkan jenama Butter yang membolehkan wanita Asia meraikan bentuk tubuh mereka dan pada masa yang sama berasa cukup selesa apabila bersenam,” ujar Olivia yang memperkenalkan Butter di Malaysia pertengahan bulan lalu.
Set sukan Butter menampilkan pelbagai warna menarik seperti kuning mentega, merah, biru kelasi dan juga warna asas seperti kelabu.
Rona warna yang menarik juga menjadikan pelanggan mempunyai lebih banyak pilihan dalam memilih pakaian sukan yang bukan sahaja selesa tetapi juga turut tampak chic dan bergaya.
Butter menawarkan dua jenis fabrik menerusi koleksi BaseCore yang sesuai buat aktiviti bertekanan tinggi dan BaseFlex untuk aktiviti tekanan rendah.
Kedua-dua koleksi menampilkan pakaian seperti sports bra, leggings dan juga kemeja-T.
Buat wanita bertudung pula, mereka boleh menggayakan sweater berlengan panjang dari koleksi Club Sweater yang cantik dan dalam masa yang sama masih menutup aurat.
Jelas Olivia, dia cukup menyukai semua koleksi pakaian sukan Butter namun item yang menjadi kegemarannya secara peribadi adalah seluar pendek dari koleksi BaseCore.
“Secara peribadi, saya amat menyukai Classic Biker Short dari Butter kerana ia cukup selesa digayakan bukan sahaja ketika bersukan tetapi juga ketika melakukan aktiviti harian,” ujarnya yang menggayakan seluar tersebut ketika membeli barangan dapur sehinggalah keluar makan bersama rakan-rakan.
Mengulas berkenaan pemilihan nama Butter, Olivia berkata nama tersebut melambangkan seleksi pakaian sukan yang cukup lembut, umpama seketul mentega.
“Nama Butter adalah bersesuaian dengan produk kami yang amat lembut ibarat mentega dan melekap cantik pada badan.
“Selain itu, nama tersebut juga cukup mudah untuk disebut dan diingati,” ujarnya.
Butter boleh dibeli menerusi laman web www.butter.sg pada harga bermula RM173.