MELAKA – Harga sayur di negeri ini dikesan mula mengalami kenaikan termasuk sawi yang kini mencecah RM6.50 sekilogram sejak musim hujan melanda, minggu lalu.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar berkata, kenaikan harga itu didakwa berlaku disebabkan jumlah bekalan yang tidak mencukupi selepas kebanyakan hasil tanaman rosak pada musim hujan.
Katanya, antara sayur yang mengalami kenaikan ketara adalah sawi, brokoli, kangkung dan kacang panjang.
“Cuaca hujan yang melanda negeri ini dan negeri-negeri pengeluar sejak minggu lalu menyebabkan banyak hasil tanaman pengeluar tempatan tidak menjadi dan rosak.
“Kebanyakan sayur terpaksa didapatkan dari Pasar Borong Selayang dan Cameron Highlands, jadi peniaga telah menaikkan harga sekitar 50 sen sehingga 80 sen sekilogram,” katanya ketika ditemui di Ayer Keroh, di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut beliau berkata, kenaikan ketara dikesan berlaku di pasar awam di Jasin apabila harga sawi mencecah RM6.50 sekilogram, manakala brokoli RM16 sekilogram.
“Kita telah membuat perbandingan kenaikan harga di tiga pasar besar utama iaitu di Pasar Awam Bachang di sini, Pasar Besar Jasin dan Pasar Besar Alor Gajah.
“Terdapat perbezaan harga yang ketara di antara pasar di Jasin apabila sawi dijual pada harga RM6.50 sekilogram dan brokoli RM16 sekilogram, manakala di pasar Bachang masing-masing RM4.50 dan RM12,” katanya.
Jelasnya, perbezaan itu dipercayai berlaku apabila peniaga tidak mendapatkan bekalan secara terus daripada pemborong, sebaliknya melalui orang kedua dan ketiga.
Katanya, KPDNHEP negeri akan terus memantau kenaikan harga yang berlaku bagi memastikan tidak ada pihak yang cuba mengaut untung berlebihan atau memperdayakan pengguna. – KOSMO! ONLINE