MONZA – Pelumba pasukan Red Bull, Max Verstappen memiliki peluang cerah untuk merangkul gelaran dunia Formula Satu (F1) lebih awal selepas memenangi Grand Prix (GP) Itali di Litar Monza kelmarin.
Pelumba Belanda tersebut mendominasi saingan musim ini apabila mencatat kemenangan kelima berturut-turut selain telah merangkul 11 kemenangan ketika ini.
Verstappen kini memiliki kelebihan 116 mata di depan Leclerc dalam carta kedudukan pemandu dan mampu untuk muncul juara dunia buat kali kedua berturut-turut sekiranya berjaya mencatat kemenangan di GP Singapura bulan hadapan.
Bagaimanapun, Verstappen perlu memenangi perlumbaan di Singapura itu dan Leclerc perlu mengakhiri perlumbaan menduduki tempat kesembilan atau lebih rendah.
“Permulaan agak baik, saya tidak mahu berdepan sebarang masalah pada selekoh pertama. Walaupun bermula pada petak belakang, saya fokus untuk mendapatkan rentak dan berjaya berada di kedudukan kedua.
“Tayar jentera juga berada dalam keadaan baik. Saya sangat gembira berlumba pada saingan kali ini walaupun cuaca agak panas. Keputusan ini sangat baik untuk kami,” katanya.
Verstappen kini mengumpul 335 mata keseluruhan, manakala Leclerc yang melakar tiga kemenangan musim mengumpul 219 mata. – AGENSI