MUMBAI – Tindakan seorang lelaki ‘mewujudkan’ pejabat mini dilengkapi komputer meja di sebuah kafe di Bengaluru, India menjadi tular di laman Twitter, lapor stesen penyiaran NDTV semalam.
Pengguna Twitter, Sanket Sahu memuat naik gambar seorang lelaki tekun bekerja bersama komputer mejanya di Kafe Third Wave.
Menurut Sanket, lelaki tersebut terpaksa mengangkut komputer meja ke kedai tersebut kerana pejabatnya ditenggelami banjir kilat dan majikan masih mengarahkan waktu bekerja seperti biasa.
“Saya baru menyaksikan seorang lelaki ‘membina’ sebuah pejabat mini di kedai kopi lengkap dengan komputer meja dan unit pemprosesan pusat (CPU) kerana bangunan mereka ditenggelami banjir,” tulis Sanket.
Situasi tersebut menimbulkan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial yang rata-rata mengkritik pihak pengurusan syarikat yang dianggap tidak bertimbang rasa.
“Jika bawa komputer riba, ia kelihatan lebih santai. Namun lelaki ini mengangkut komputer meja beserta CPU, ini bermakna kerja atau dipecat,” tulis seorang pengguna.
“Ini adalah situasi menyedihkan yang menggambarkan budaya toksik dalam sektor korporat,” komen netizen lain. – Agensi