LOS ANGELES, California – Kebakaran hutan terbaharu merebak pantas di kawasan pergunungan tengah negeri California ketika pasukan bomba baru saja berjaya mengawal sebuah kebakaran besar di selatan bandar raya Los Angeles, kata pihak berkuasa kelmarin.
Kebakaran Nyamuk memusnahkan hutan seluas lebih 16,600 hektar di Banjaran Sierra Nevada, timur laut San Francisco dalam masa empat hari sahaja, lapor laman web rasmi pasukan bomba negeri, Cal Fire.
Cal Fire berkata, kebakaran itu yang meliputi beberapa kawasan di El Dorado dan daerah Placer, hanya 10 peratus berjaya dikawal setakat ini.
Menurutnya, walaupun suhu kini lebih sejuk selepas cuaca panas terik melanda lebih seminggu, angin kuat mengakibatkan api merebak ke arah utara dan timur laut serta mengancam beratus-ratus kediaman.
Ketika bandar Foresthill berdepan ancaman yang semakin meningkat, ‘beberapa lagi arahan dan amaran pemindahan telah dikeluarkan’,kata Cal Fire.
Penduduk bandar Georgetown, Volcanoville dan Bottle Hill diarah berpindah lebih awal, lapor akhbar tempatan, Sacramento Bee.
“Ini adalah kali keempat kami dipindahkan, namun kali ini adalah yang paling teruk,” kata penduduk Volcanoville, Josh Manzer kepada Sacramento Bee.
Pada Sabtu lalu, anggota-anggota bomba dapat mengatasi kebakaran besar Fairview di selatan Los Angeles selepas ribut tropika membawa hujan dan suhu lebih sejuk, kata pihak berkuasa.
Beberapa pegawai berkata, Kebakaran Fairview berlaku di tengah-tengah gelombang haba ganas yang membakar rantau barat daya Amerika Syarikat( AS) dan meragut dua nyawa serta memusnahkan 20 bangunan.
Rantau barat AS dilanda kemarau lebih daripada dua dekad, manakala saintis- saintis menyatakan, kemarau itu menjadi semakin buruk kesan daripada fenomena perubahan iklim akibat tangan manusia. – AFP