MELAKA – Pemimpin DAP Melaka menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung bayaran RM1.4 juta yang didakwa dibuat kepada Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.
Laporan itu dibuat semalam di Ibu Pajabat SPRM Melaka oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee.
Chee Yee berkata, beliau membuat laporan terhadap Ahli Parlimen Marang itu pada pukul 2 petang dan selesai setengah jam kemudian.
“Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan bayaran kepada Clare dibuat secara sulit dan persendirian, berdasarkan pemahaman saya sekiranya laporan ini benar, maka ia membangkitkan persoalan bahawa Pas dikatakan telah menerima wang daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memberi sokongan pada PIlihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
“Laporan dibuat bagi menuntut SPRM menyiasat sekiranya apa dilaporkan media iaitu jumlah wang yang diberikan kepada Abdul Hadi benar-benar wujud, ini penting bagi menentukan jika terdapat unsur rasuah, sumber wang diperoleh dan pengisyhtiharan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Abdul Hadi wajar disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan Akta Cukai Pendapatan 1967,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat DAP Melaka di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dan ADUN Kota Laksamana, Low Chee Leong.
Pada 2019, Clare mengesahkan ada menerima RM1.4 juta untuk menyelesaikan kes saman dengan Abdul Hadi di luar mahkamah.
Sementara itu, Poay Tiong menganggap tindakan Abdul Hadi membayar Clare sebagai tidak masuk akal dan mencurigakan.
Soalnya, di mana logiknya orang difitnah membayar kepada pihak yang didakwa memfitnah dan pada masa sama, Clare menerusi satu klip video yang tular dalam media sosial baru-baru ini tetap menegaskan UMNO ada membayar sejumlah wang kepada Pas.
“Isu ini dibangkitkan supaya rakyat boleh membuat penilaian sendiri apakah yang diberitahu selama ini boleh dipercayai, perkara ini telah lama berlaku sejak 2016 lagi tetapi mengapa masih tiada siasatan dibuat SPRM.
“Isu ini bukan sengaja ditimbulkan disebabkan PRU makin hampir tetapi untuk mendapatkan penjelasan dan siasatan yang telus mengenai wang diterima oleh Pas. Saya harap kes ini disiasat oleh SPRM,” katanya. – KOSMO! ONLINE