fbpx

Damak Si Kuba, sisi serius Zizan Razak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TELEFILEM Damak Si Kuba lakonan Zizan Razak, Bienda dan Danish Hazriq akan menemui penonton pada 17 September ini.

SINONIM dengan gelaran pelawak dan barangkali tidak pernah dilihat serius dalam mana-mana naskhah kreatif, Zizan Razak tidak menyangka akan diberi kepercayaan melakonkan satu watak berat.

Bukan sahaja menjadi seorang lelaki kampung yang bekerja sebagai penggembala kerbau, pelakon yang sedang meledak dengan filem Abang Long Fadil 3 itu juga harus beraksi sebagai suami yang kematian isteri dan bapa kepada seorang remaja buta menerusi sebuah telefilem berjudul Damak Si Kuba.

Jauh meninggalkan peribadi dan imej lucu ‘Zizan Razak’ yang cukup dikenali selama ini, anak seni asal Terengganu itu juga harus mendalami emosi sedih dan menangis yang jarang dirasai dalam mana-mana kerja lakonannya.

ZIZAN RAZAK bersama Bienda berlakon sebagai pasangan suami isteri dalam telefilem Damak Si Kuba.

“Kalau orang ramai terima, saya boleh kembangkan kerjaya ke arah sesuatu yang baharu dan mereka tak pernah tengok. Saya risau juga sebab waktu penggambaran, orang buat kelakar dengan saya.

“Jadi, buat saya terfikir, macam mana orang nak terima saya buat cerita ini (cerita serius dan sedih). Ini mencabar saya untuk yakinkan orang yang Zizan dalam cerita ini, bukan Zizan dalam cerita-cerita kelakar yang lain.

“Sebab orang jumpa nak gurau-gurau dengan saya, itu mencabar juga untuk saya di set sebab kena fokus,” katanya.

Bercerita tentang telefilem arahan Zainorsham tersebut, Zizan melakonkan watak lelaki bernama Pok Cheq, orang kampung yang hidup kais pagi makan pagi.

Lebih menduga, dia harus menjiwai watak seorang suami kematian isteri dan mempunyai anak lelaki yang buta.

“Saya bawa watak orang susah, kerja berkebun dan dapat anak buta. Banyak kejadian tidak diingini berlaku. Saya rasa susah. Habis penggambaran saya masih termenung.

“Dalam cerita ini saya mewakili orang susah. Ada orang yang melalui kesusahan begini,” katanya.

ZIZAN mulanya hampir tidak percaya boleh melakonkan watak serius dan keluar dari dunia komedi yang selama ini amat sinonim dengan dirinya.

Seperkara yang barangkali ingin dilihat, pemain komedi yang juga popular dengan watak Mael Lambong itu harus menangis dalam telefilem terbitan Issey Fazlisham tersebut.

“Ini juga antara yang payah iaitu menangis tetapi dalam cerita ini saya sendiri belajar teknik itu sampai menangis teresak-esak.

“Tak sangka saya dapat buat. Tapi kalau faham kisah sebenar dan mendalami, kita boleh faham. Sesetengah orang cakap, untuk watak sedih kita kena ingat benda paling sedih, konsep itu akan lari dan tak kena.

“Dalam cerita ini, dia orang susah. Jadi kita faham watak yang dibawa dan secara tak langsung akan menangis,” katanya yang berpasangan dengan Bienda sebagai suami isteri menerusi telefilem berkenaan.

Damak Si Kuba yang bakal menemui penonton pada 17 September ini mengisahkan seorang anak penggembala yang kehilangan ibunya akibat kanser melalui saat sukar apabila perlu berpisah dengan kerbau kesayangannya bagi menampung kewangan keluarga. Dia cuba mencari pelbagai jalan supaya bapanya tidak menjual kerbau kesayangannya.

Selain Zizan dan Bienda sebagai Mak Ika, telefilem siaran Astro Ria yang ditayangkan pukul 9 malam tersebut turut menampilkan Danish Hazriq sebagai Mawi, Angie Tan Ang Lee (Khaleeda) dan Mak Sheen Cik Manis.

ZIZAN sebagai Pok Cheq, seorang bapa yang hidup dalam kesukaran apabila isterinya meninggal dunia, manakala anak lelakinya cacat penglihatan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI