LONDON – Seorang wanita ditahan kerana memegang sepanduk antimonarki semasa perhimpunan rakyat jelata yang berkabung atas kemangkatan Ratu Elizabeth II di Edinburgh semalam, lapor akhbar Metro UK.
Wanita berkenaan ditahan di luar Gereja St Giles, di mana keranda monarki berkenaan disimpan bermula hari ini selepas ditempatkan di Istana Holyroodhouse selama semalaman.
Kejadian itu berlaku beberapa minit sebelum Raja Charles III diumumkan sebagai monarki baharu di hadapan rakyat Scotland, petang semalam.
Wanita berkenaan memegang sepanduk bertulis ‘imperialisme, hapuskan monarki’.
Beberapa anggota polis muncul di belakangnya dan membawa dia pergi dari situ serta disusuli tepukan orang ramai.
Seorang lelaki menjerit sambil berkata: “Lepaskan dia, ia satu kebebasan bersuara.”
Ia kemudian disambut oleh seorang lagi individu sambil berkata: “Tolong hormati (kemangkatan baginda).”
Seorang jurucakap polis berkata, wanita berusia 22 tahun itu ditahan kerana melanggar ketenteraman.
“Saya percaya bahawa setiap orang mempunyai hak untuk memprotes, namun ini bukan lokasi dan masa yang betul (untuk melakukan protes).
“Ia amat biadab untuk dilakukan dalam upacara seperti ini,” kata seorang penduduk dari Livingston, Helen Smith. – Agensi