fbpx

Teliti semula garis panduan pemilihan penceramah ke sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Radzi

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperincikan semula garis panduan pemilihan penceramah bagi sebarang program motivasi anjuran sekolah di seluruh negara.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pihaknya akan meneliti semula garis panduan dan pekeliling sedia ada bagi memastikan perkara tidak diingini berlaku terutama membabitkan kes amang seksual terhadap murid sekolah.

“Satu penyelarasan dan pemantauan menyeluruh perlu dilakukan bagi memastikan kriteria tertentu diguna pakai sebelum menjemput penceramah bebas ke sekolah.

“Kalau kita perincikan semua perkara nanti kata KPM nak kawal semua, tapi kalau tiada penyelarasan dan pantauan akan jadi masalah kelak seperti yang dibangkit,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Bersama Semarakkan Transformasi Pendidikan Sektor Perancangan dan Pembangunan di Sekolah Sultan Alam Shah, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kes amang seksual yang dilaporkan baru-baru ini membabitkan seorang penceramah bebas.

Sebelum ini, media melaporkan seorang penceramah didakwa melakukan amang seksual terhadap remaja sekolah berumur di bawah 18 tahun, yang dikenalinya menerusi program motivasi sekolah.

Setakat ini, sebanyak enam laporan polis dibuat terhadap penceramah bebas iaitu empat di sekitar Selangor dan dua lagi di Seremban, Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, Radzi berkata, KPM memandang serius isu berkenaan demi keselamatan anak-anak di sekolah.

Buat masa ini, katanya, garis panduan pemilihan penceramah sedia ada masih terpakai sehingga satu garis panduan baharu diwujudkan.

“Walaupun sudah ada garis panduan jelas kadang-kadang pelaksanaan dan pematuhannya tidak diikuti dengan baik,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI