fbpx

Sultan Selangor sokong Agong berhubung kuasa prerogatif pengampunan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SULTAN Sharafuddin Idris Shah

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan sokongan padu terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkaitan kuasa prerogatif pengampunan yang tidak boleh dilaksanakan sewenang-wenangnya demi kepentingan pihak tertentu.

Sultan Sharafuddin bertitah, rakyat perlu memahami bahawa proses pengampunan perlu dilaksanakan mengikut lunas undang-undang dan prosedur yang telah diperuntukan di bawah Perlembagaan dan undang-undang berkaitan dengannya.

Titah baginda, rakyat perlu memberi sepenuh kepercayaan kepada sistem kehakiman negara tanpa perlu melemparkan tohmahan yang tidak berasas tanpa mengetahui fakta dan alasan-alasan penghakiman terhadap sesuatu kes.

“Sebarang tohmahan yang tidak berasas ini akan mengundang persepsi negatif terhadap kebebasan badan kehakiman dan pasti menghakis keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran keadilan negara.

“Keadaan ini juga akan secara tidak langsung menjejaskan nama baik negara di peringkat antarabangsa,” titah baginda dalam kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah Klang, hari ini.

Kosmo! pada 5 September lalu melaporkan Al-Sultan Abdullah bertitah, kuasa menghukum dan memberi pengampunan tidak wajar digunakan sewenang-wenangnya kerana ianya bakal dipertanggungjawabkan kelak.

Sultan Sharafuddin menjelaskan, Perlembagaan Persekutuan telah meletakkan martabat institusi kehakiman di satu tahap yang tinggi sebagai sebuah badan kehakiman bebas dan berwibawa, selain badan kehakiman merupakan benteng terakhir perlu dipertahankan memastikan pentadbiran keadilan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

Tegas Sultan Sharafuddin, baginda mengikuti dengan rapat dan mengambil perhatian terhadap perkembangan isu-isu yang berkaitan dengan sistem pentadbiran keadilan negara sejak kebelakangan ini. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI