fbpx

Semua wad kelas tiga hospital baharu dilengkapi pendingin hawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KHAIRY Jamaluddin (kiri) mengiringi Sultan Sallehuddin dan Sultanah Maliha melihat replika bangunan tambahan HSM di Langkawi.

LANGKAWI – Kementerian Kesihatan (KKM) akan memohon semua wad kelas tiga bagi setiap projek pembinaan hospital baharu selepas ini dilengkapi pendingin hawa untuk memastikan keselesaan semua pesakit dan kakitangan hospital.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Hospital Sultanah Maliha (HSM) di pulau peranginan ini bakal menjadi hospital awam pertama dengan wad kelas ketiganya dilengkapi pendingin hawa.

Katanya, kemudahan tersebut tersedia selepas projek pembinaan bangunan tambahan HSM yang bernilai RM515 juta itu dijadualkan siap pada 2025.

“Kita nak umum bahawa Hospital Sultanah Maliha ini akan menjadi hospital awam pertama dengan wad kelas tiga pun ada pendingin hawa.

“Selepas ini, kita akan mohon semua hospital baharu akan mempunyai wad kelas tiga yang dilengkapi kemudahan tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Bangunan Tambahan HSM di sini hari ini.

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff berkenaan menyempurnakan majlis pecah tanah tersebut.

Hadir sama Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

Kata Khairy, kemudahan pendingin hawa itu bukan sahaja untuk memastikan keselesaan pesakit, malah seluruh kakitangan termasuk jururawat yang bertugas di situ.

“Bukan kesian kepada pesakit sahaja, tetapi juga jururawat yang bertugas kerana wad kelas tiga ini memang panas.

“Oleh itu, selepas ini kita akan tukar spesifikasi bagi wad kelas tiga ini bagi semua projek pembangunan hospital baharu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI