fbpx

‘Perjalanan terakhir’ jasad Ratu Elizabeth II

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jasad mendiang Ratu Elizabeth II akan disimpan selama dua hari di Edinburgh bagi memberi peluang kepada rakyat memberikan penghormatan terakhir. - AFP

LONDON – Jasad Ratu Elizabeth II memulakan ‘perjalanan terakhirnya’ semalam dengan beribu-ribu rakyat jelata yang berkabung, berbaris sepanjang laluan perarakan keranda baginda di Scotland di mana baginda mangkat.

Perarakan keranda oak dari Istana Balmoral ke bandar Edinburgh itu menandakan bermulanya acara perkabungan di seluruh negara yang berakhir di London pada 19 September ini.

Istiadat tersebut bermula sehari selepas putera Ratu Elizabeth, Putera Charles ditabalkan secara rasmi sebagai Raja Britain bergelar Raja Charles III.

Ia disusuli peristiwa ‘penyatuan’ semula cucundanya, Putera William dan Harry bersama-sama isteri masing-masing, Kate Middleton dan Meghan Markle yang sempat bertemu dengan rakyat di Istana Windsor secara ringkas.

Kenderaan Diraja yang membawa keranda monarki paling lama berkhidmat di Britain itu dilaporkan melakukan perjalanan selama enam jam melalui beberapa bandar di Scotland sebelum tiba di Edinburgh.

Di Edinburgh, jasad mendiang akan disimpan selama dua hari bagi memberi peluang kepada rakyat memberikan penghormatan terakhir.

Raja Charles III sendiri akan bertolak ke Edinburgh hari ini bagi melakukan istiadat keagamaan, sebelum jasad baginda diterbangkan ke kota London esok.

Jasad Ratu Elizabeth II yang mangkat pada usia 96 tahun, kemudian akan ditempatkan selama empat hari di Dewan Westminster bagi memberi peluang kepada rakyat Britain dan seluruh dunia memberikan penghormatan terakhir.

Istiadat tersebut dijangka melibatkan sekurang-kurangnya satu juta orang menjelang upacara  pemakaman yang akan ditonton oleh seluruh dunia serta melibatkan sebilangan ketua dan pemerintah negara.

“Kita sedang menjalani detik bersejarah. Ia adalah satu situasi yang amat terhormat,” kata seorang penduduk Edinburgh, Laura Burns.

Dalam pada itu, Putera William memecah ‘kebisuan’ dengan menzahirkan penghormatan penuh emosi kepada nenenda beliau kelmarin.

“Baginda berada di sisi saya ketika waktu paling bahagia dan juga pada tempoh saya berduka,” ujar William yang kini bergelar Prince of Wales.

Kemangkatan Ratu Elizabeth II turut disifatkan sebagai kejutan yang mendorong ‘penyatuan’ semula anggota keluarga Diraja Britain apabila William, 40 dan adiknya, Harry, 37, muncul bersama isteri masing-masing bagi bertemu dengan rakyat yang turut berkabung di luar Istana Windsor, dekat London.

Kedua-dua pasangan tersebut amat jarang dilihat membuat penampilan di khalayak secara bersama sejak 2020, dan meskipun ada, mereka bercakap dan berjabat tangan pada lokasi berbeza.

Selain itu, ahli keluarga Diraja Britain yang lain termasuk anakanda-anakanda Ratu Elizabeth II, Puteri Anne dan Putera Andrew serta Putera Edward dan ahli keluarga yang lain memeriksa keadaan jambangan bunga di luar Istana Balmoral, yang dihias di situ sejak kemangkatan baginda.

Keranda baginda, yang dibalut dengan kain Scottish Royal Standard dan kalungan bunga, disimpan di dewan utama Istana Balmoral dan akan diusung ke kenderaan yang membawa jasad mendiang.

Perarakan yang penuh dengan istiadat itu bertolak pada pukul 10 pagi (waktu tempatan) dan melalui Aberdeen serta Dundee sebelum tiba di Edinburgh pukul 4 petang (waktu tempatan).

Beberapa lokasi khas untuk menyaksikan perarakan tersebut telah didirikan di sepanjang laluan meskipun rakyat yang berkabung diminta agar tidak melontar bunga ke arah konvoi.

“Kami menjangkaka begitu ramai orang akan memberikan penghormatan terakhir mereka,” kata Ketua Menteri Scotland, Nicola Sturgeon. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI