fbpx

Nafuzi masih percayakan Rahadiazli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAHADIAZLI (kanan) melakukan dua kesilapan menyebabkan TFC dihukum dengan kekalahan 1-3 ketika berdepan JDT kelmarin.

KETUA jurulatih skuad Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain tidak kesal dengan keputusan meletakkan Rahadiazli Rahalim selaku penjaga gawang utama selepas menyaksikan pasukannya tewas 1-3 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada final Piala FA kelmarin.

Sebagai rekod, Rahadiazli telah melakukan dua kesilapan yang perlu dibayar dengan ‘harga mahal’ apabila kemarau 11 tahun TFC tanpa sebarang trofi berterusan.

Pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, Rahadiazli telah melakukan terjahan ke atas Bergson Da Silva sehingga menghadiahkan penalti buat JDT untuk gol kedua sebelum terburu-buru keluar daripada posisi untuk jaringan ketiga buat pasukan lawan.

Namun, Nafuzi enggan me­nunding jari sepenuhnya kepada penjaga gol berusia 21 tahun itu selain menganggap ia sebagai proses pembelajaran untuk menjadi pemain yang lebih matang pada masa akan datang.

“Sebelum ini, dalam aksi Liga Super menentang Ne­geri Sembilan FC (NSFC), Rahadiazli telah me­lakukan kesilapan hingga menyebabkan kekalahan 1-2, tetapi saya tetap menurunkannya.

“Malah, jasanya juga tidak boleh dilupakan pada aksi separuh akhir Piala FA menentang Selangor FC di mana dia beraksi cemerlang dengan menyelamatkan penentuan sepakan penalti.

“Namun, harus diakui kesilapan Rahadiazli (untuk gol ketiga) kerana beliau tidak sepatutnya keluar, tetapi apabila meletakkan pemain muda, situasi ini boleh terjadi kerana kekura­ngan pengalaman,” katanya selepas tamat perlawanan.

Sementara itu, Nafuzi meng­akui jurang kualiti yang agak ketara antara pasukannya dan JDT menjadi punca kekalahan pasukan pada aksi final kali ini.

“Pasukan TFC rata-rata dibarisi pemain muda, manakala JDT pula lebih berpengalaman dan mereka juga sering mema­suki perlawanan akhir.

“Namun, saya lihat pemain sudah memberikan yang terbaik sepanjang perlawanan dan mungkin sebab faktor tekanan, pengalaman dan kualiti menjadikan JDT lebih baik berban­ding kami,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI