SHAH ALAM – Kementerian Kesihatan (KKM) akan merumuskan data Tinjauan Kesihatan Orang Asli (OAHS) yang akan diterima secara menyeluruh bulan ini.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, data itu penting bagi mengenal pasti pelbagai aspek kesihatan masyarakat Orang Asli secara holistik.
Kata beliau, OAHS turut menumpukan berkaitan isu sosial, penyakit mental dan akses atau kemudahan pusat kesihatan.
“Kajian yang tidak hanya memfokuskan kesihatan Orang Asli itu perlu bagi mencari langkah penambaikan boleh dilakukan kerajaan.
“Kita akan membuat rumusan data itu bulan ini dan akan menguar-uarkan kepada umum kelak,” katanya ketika ditemui Kosmo! selepas melancarkan Buku Laporan Teknikal Covid-19 dan The Covid-19 Chronicles di Institut Kesihatan Negara (NIH) di sini, hari ini.
Dua buku itu diterbitkan sebagai kompilasi maklumat dan panduan umum mengenai usaha KKM menangani pandemik dalam tempoh dua tahun sejak 2020.
Julai lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan kementerian akan menggunakan hasil OAHS bagi menyediakan lebih banyak program kesihatan, perubatan, kemudahan dan sumber kepada masyarakat Orang Asli.
Tinjauan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) itu dilaksanakan bagi tempoh tiga bulan bermula 13 Julai hingga esok melibatkan 71 perkampungan Orang Asli dan 4,700 buah rumah di Semenanjung.
Jelas Muhammad Radzi, OAHS turut selaras dengan syor Kertas Putih Kesihatan yang memfokuskan akses dan ekuiti kesihatan negara.
“Kita mahu semua golongan termasuk masyarakat Orang Asli mendapat akses kesihatan secara sama rata.
“Langkah itu perlu bagi memastikan sistem kesihatan sedia ada dapat dipertingkatkan ke arah lebih baik,” katanya. -KOSMO! ONLINE