fbpx

Kerajaan peruntuk RM7 juta bangunkan industri bioteknologi negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengumumkan memperuntukan RM5 juta dalam usaha menggalakkan perkembangan syarikat-syarikat tempatan dalam industri bioteknologi menerusi program Bio-based Accelerator (BBA) yang telah dilaksanakan oleh Bioeconomy Corporation.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) ini amat signifikan memandangkan MOSTI mempunyai ekosistem yang kondusif bagi menyokong pembangunan industri bioteknologi negara untuk kesejahteraan Keluarga Malaysia.

“Baru-baru ini MOSTI dan Kementerian Kewangan (MOF) telah mengadakan sesi konsultasi dan MOSTI telah memohon peruntukan bagi menggalakkan perkembangan syarikat-syarikat tempatan dalam industri bioteknologi menerusi program Bio-based Accelerator (BBA) yang telah dilaksanakan oleh Bioeconomy Corporation,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Dasar Bioteknologi Negara (DBN) 2.0 bertemakan ‘Ke Arah Masyarakat Bioinovasi’ di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Dalam masa sama, Ismail Sabri turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi melaksanakan program Biomalaysia.

“Saya berharap Pameran BioMalaysia akan dapat dianjurkan pada tahun 2023 dengan jayanya dan menarik lebih ramai pemain industri serta pelabur asing dan tempatan.

“Sekali lagi saya memberi jaminan bahawa kerajaan sentiasa menyokong penuh Dasar Bioteknologi Negara 2.0 (DBN 2.0) dan yakin ia akan memberi impak positif kepada Keluarga Malaysia dalam memacu sosioekonomi negara ke arah kualiti hidup yang lebih baik berasaskan kepakaran dan inovasi tempatan,” katanya.

Dalam pada itu katanya, DBN 2.0 turut memberi tumpuan kepada tiga perkara iaitu pertama, Bioteknologi Pertanian dan Jaminan Makanan. Kedua, Penjagaan Kesihatan dan Kesejahteraan dan ketiga, Bioteknologi Perindustrian dan Ekonomi Kitaran.

” Dasar ini juga akan memperkukuhkan ekosistem bioteknologi sedia ada serta menjadi katalis dalam menyelesaikan cabaran negara berkaitan sekuriti makanan, pengurusan pandemik dan krisis perubahan iklim menerusi kaedah penyelesaian bioteknologi tempatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI