PETALING JAYA – Ditawarkan kerja sebagai pembeli peribadi atau ‘personal shopper’ di negara jiran menjadi jerat kepada rakyat Malaysia yang mengejar wang sekali gus mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara.
Bagi meyakinkan mangsa, sindiket tersebut memberikan penginapan, tambang kapal terbang, dan pemandu peribadi secara percuma untuk lapan hari pertama di Bangkok, Thailand sebelum dibawa ke Kemboja.
Mendedahkan perkara tersebut, mangsa hanya ingin dikenali sebagai Cik A berkata, sebelum ini dia sudah tiga tahun bekerja dalam bidang yang sama membuatkan dia yakin untuk bekerja di luar negara.
“Sampai sahaja di Bangkok, kami dilayan dengan baik. Bagaimanapun selepas seminggu, kami dipaksa ikut mereka pergi ke satu tempat di Kemboja.
“Kami diberikan kerja di bahagian sumber manusia dan jika melawan akan dipukul. Kami dibawa naik sampan dan meredah sungai untuk sampai ke sebuah bangunan berwarna hijau.
“Di situ kami dipaksa menjadi ‘scammer’ dan perlu membayar pampasan jika mahu berhenti,” katanya pada sidang akhbar bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chong Siang di sini hari ini.
Menurutnya, pampasan yang perlu dibayar adalah sebanyak USD35,000 (RM157,640) dan mereka ketika itu dibayar gaji sebanyak USD1,000 (RM4,500).
Katanya lagi, setiap seorang rakyat Malaysia yang berjaya ditipu di bawah sindiket yang sama akan diberikan USD 1,000 (RM4,500). – KOSMO! ONLINE