fbpx

Helikopter berlegar di lokasi sama beri petunjuk kepada pesara bomba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMAD Yunus membantu pasukan penyelamat menaikkan mayat mangsa ke helikopter untuk dibawa keluar dari Hutan Simpan Chikus, Tapah hari ini. - FOTO/IHSAN PEMBACA

TAPAH – Dua helikopter milik pasukan penyelamat yang berlegar di lokasi sama menjadi petunjuk kepada bekas pegawai kanan bomba untuk mengenal pasti lokasi helikopter terhempas di Hutan Simpan Chikus hari ini.

Bekas Timbalan Ketua Pengajian Penyelamat di Akademi Bomba dan Penyelamat Bomba Wilayah Tengah, Mohamad Yunus Abu itu merupakan antara kumpulan orang awam yang tiba awal di lokasi nahas sekitar pukul 9.50 pagi.

Menurut Mohamad Yunus, 48, dia masuk ke dalam hutan simpan tersebut menaiki kenderaan pacuan empat roda di mana perjalanan mengambil masa kira-kira sejam atau lima kilometer (km) dari jalan utama.

Katanya, turut bersamanya dalam operasi itu termasuk Penghulu Mukim Bidor, Ahmad Fahmie Othman serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Chegar dan lima pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Kami masuk (ke hutan) berpandukan pergerakan dua buah helikopter milik polis dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dilihat berlegar beberapa kali di kawasan sama.

“Berdasarkan pengalaman dan kemahiran saya semasa berkhidmat dalam pasukan bomba selama 16 tahun, keadaan itu adalah isyarat daripada unit udara bahawa ada sesuatu yang berlaku di bawah.

“Dalam situasi itu, kita tidak boleh berkomunikasi dengan orang atas jadi helikopter itu akan bagi petunjuk kepada kita dengan berpusing-pusing di lokasi kejadian.

“Kami yang menaiki pacuan empat roda pada awalnya tersasar tetapi berpandukan pergerakan helikopter itu, kami ambil keputusan untuk mencari jalan sehampir mungkin,” katanya ketika ditemui pemberita di sini. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI