PETALING JAYA – Kemenangan membolot dua trofi termasuk anugerah kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) menerusi lagu Sinar Mata Hati di Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM 23) semalam diibaratkan penyanyi Ernie Zakri umpama mimpi menjadi.
Menurut Ernie, 30, sejak berusia 15 tahun lagi, dia sudah mengimpikan untuk menggenggam trofi AIM yang juga menjadi impian kebanyakan penyanyi lain.
“AIM adalah anugerah yang ditunggu-tunggu setiap penyanyi termasuk saya. Bahkan sejak berusia 15 tahun lagi, saya sudah bercita-cita untuk membawa pulang trofi anugerah berprestij ini.
“Saya pernah mengadu pada suami (Syamel) bahawa saya teringin hendak memenangi anugerah di AIM sebab dia pernah memenanginya, sedangkan rezeki saya belum lagi,” kata Ernie.
Ujar pemilik lengkap Nur Ernie Shahirah Zakri itu, dia berasa sangat gembira apabila namanya tercalon bersama rakan artis lain dalam senarai akhir bagi beberapa kategori di AIM selepas lima tahun anugerah tersebut direhatkan.
“Bila nama saya dicalonkan selepas lima tahun AIM tidak diadakan, sudah tentu saya berasa sangat gembira. Sekurang-kurangnya pencalonan ini memberi semangat untuk saya bekerja lebih keras.
“Sekarang ada sebab mengapa saya perlu buat yang terbaik. Kemenangan ini adalah sesuatu yang bermakna bagi saya pada tahun ini. Alhamdulillah,” jelasnya.
Pada masa sama, Ernie juga bersyukur apabila hasil kerja seninya selama ini dinilai dan diangkat sebagai yang terbaik (pemenang).
“Saya berasa sangat bersyukur. Juri yang menilai saya pun terdiri dalam kalangan individu yang profesional dalam bidang muzik.
“Bagi saya, anugerah AIM merupakan penghargaan yang perlu ada dalam kerjaya saya. Hari ini (semalam) Allah SWT telah makbulkannya,” katanya.
Selain Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita), Ernie turut membawa pulang trofi Lagu Pop Terbaik menerusi Goodbye Hello, duet bersama suaminya, Syamel dalam AIM 23 yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), semalam. – KOSMO! ONLINE