fbpx

Gempa kuat ragut 5 nyawa di Papua New Guinea

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang penduduk dibawa menaiki helikopter menggunakan pengusung di kampung Kombul berhampiran bandar Lae, semalam. – AFP

PORT MORESBY, PAPUA NEW GUINEA – Gempa bumi kuat berukuran 7.6 pada skala Richter menggegarkan Papua New Guinea dan mengorbankan lima orang, manakala sebilangan yang lain cedera, lapor laman berita Wion News semalam.

Gempa semalam itu turut memusnahkan sebilangan bangunan serta menyebabkan bencana tanah runtuh.

Gegaran dilaporkan dirasai sehingga ke ibu negara Papua New Guinea, Port Moresby yang terletak hampir 480 kilometer dari pusat gempa.

Penduduk yang tinggal berhampiran pantai melarikan diri ke kawasan lebih tinggi dan dalam masa sama, mereka  melaporkan paras air berkurang secara tidak dijangka.

Penduduk di rantau utara Papua New Guinea pula melaporkan gegaran kuat yang menyebabkan bangunan-bangunan  bergoyang. Dua mangsa maut di rantau itu.

Di bandar Wau, tiga pelombong dilaporkan tertimbus hidup-hidup ketika gempa berlaku.

Ahli parlimen tempatan, Kessy Sawang memberitahu agensi berita AFP bahawa tanah runtuh memusnahkan banyak kediaman di sebuah perkampungan dengan penduduk hilang tempat tinggal.

Usaha untuk menilai kerosakan dan memberi bantuan sukar kerana terdapat amat sedikit jalan yang berturap, manakala rangkaian jalan raya ke kawasan terjejas pula sangat terhad.

Seorang penduduk  bandar tepi pantai Madang, menggambarkan gempa bumi tersebut sebagai ‘amat kuat’ dan memberitahu bahawa semuanya seperti sedang terapung di atas laut.

Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) pada awalnya mengeluarkan amaran tsunami di kawasan pesisir  pantai, namun menarik balik amaran tersebut tidak lama kemudian.

Presiden Papua New Guinea, James Marape  menggambarkan bencana tersebut sebagai ‘buruk’ dan menggesa orang ramai agar berwaspada meskipun beliau menjangkakan kemusnahan kali ini  kurang berbanding gempa bumi pada 2018 yang mengorbankan 150 orang. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI