KETIKA dunia dilanda pandemik Covid-19, pemilik nama Mahirah Sofea Noor Saharin pernah berdepan tekanan hingga menyebabkan dirinya hilang motivasi dan mengalami ketidakstabilan emosi.
Pada waktu itu dia sedang menuntut di tingkatan lima.
Kongsi gadis berusia 19 tahun ini, dia juga hampir berputus asa apabila peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terpaksa ditunda beberapa kali sehingga ke tahun seterusnya.
Biarpun sukar dan terpaksa mengambil inisiatif sendiri, gadis ini bagaimanapun berjaya mencari motivasi sehingga dia akhirnya berjaya memperoleh keputusan cemerlang, 8A+ 1A dalam peperiksaan besar tersebut.
Mahirah kini menyambung pengajian di UniKL MIIT dalam jurusan Sains dan Teknologi untuk persediaan ke Korea Selatan atau lebih dikenali dengan nama program YTP Mara Pre-Korea di bawah tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara).
“Peluang ini hanya datang sekali seumur hidup dan menyambung pengajian dalam bidang Sains Komputer di luar negara pastinya menjadi impian ramai pelajar.
“Tambahan pula saya ingin belajar di luar negara kerana yakin dapat meningkatkan kualiti kehidupan.
“Selain itu, saya melihat bidang ini tinggi permintaannya pada masa hadapan selaras dengan arus perkembangan teknologi,” katanya kepada K2.
Kongsi Mahirah Sofea, pada awalnya, dia teragak-agak untuk menyambung dalam jurusan ini kerana tiada asas berkaitan bidang pengaturcaraan atau pengekodan.
Yakin minat dan kejayaan datang daripada usaha dan keikhlasan untuk mempelajari perkara baharu, gadis dari Kuantan, Pahang ini memilih jurusan itu dengan harapan akan timbul minat dalam bidang tersebut selepas ini.
“Setelah didedahkan dengan subjek Fundamental of Programming semasa semester pertama dan berpeluang mendalami asas pengaturcaraan, saya semakin meminati bidang Sains Komputer.
“Saya kini turut berminat untuk mencipta dan membangunkan perkara baharu untuk menyelesaikan masalah.
“Puas rasanya apabila dapat menghasilkan idea baharu untuk menyelesaikan masalah khusus melibatkan pengguna, brainstorm jalan penyelesaian serta melaksanakannya dengan beberapa baris pengekodan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mahirah Sofea mahu mengikis stigma masyarakat di negara ini yang beranggapan bahawa pelajar perlu memasuki sekolah berasrama penuh untuk mendapat peluang besar seperti melanjutkan pelajaran ke luar negara.
Dia menegaskan, dia yang sebelum ini belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rangin, Kuantan telah membuktikan pelajar sekolah harian sepertinya juga mampu berjaya hingga ditawarkan melanjut pelajaran di luar negara.
Bukan itu sahaja, dia turut cemerlang dalam bidang akademik mahupun kokurikulum sehingga dinobatkan sebagai Tokoh Kokurikulum Perempuan pada tahun 2020 sewaktu di bangku sekolah.
Katanya, kejayaan itu bukanlah berdasarkan reputasi sekolah semata-mata, sebaliknya atas usaha pelajar itu sendiri.
Bakal merantau ke negara orang demi menuntut ilmu, Mahirah Sofea kini sibuk membuat persediaan dari segi fizikal dan mental.
Ini kerana ujarnya, dia bukan sahaja perlu menghadapi cabaran dalam akademik, malahan juga cabaran untuk survive di negara asing sebagai pelajar dan seorang Muslim.
“Cabaran utama yang perlu saya bersedia adalah dari segi bahasa.
“Sudah semestinya Bahasa Korea diguna pakai dalam aktiviti harian dan perlu diingatkan subjek yang diajar juga hampir kesemuanya dalam bahasa berkenaan.
“Harapan saya di Korea adalah untuk mendapatkan pengalaman baharu seperti mengambil input daripada rakan-rakan berlainan negara,” kongsinya.
Biarpun bakal menetap di Korea Selatan untuk tempoh agak lama, namun gadis ini berkata, dia kurang meminati masakan di negara tersebut kerana lebih menyukai masakan Melayu.
Justeru, dia melihat situasi itu mungkin menjadi cabaran kecil buatnya.
Dalam pada itu, Mahirah Sofea bercita-cita untuk menjadi seorang pembangun web kerana amat meminati kecerdasan buatan (AI), selain machine learning engineering.
Rancangan saya adalah untuk mendapatkan pengalaman sebanyak yang boleh di sana yang sememangnya terkenal dengan teknologi termaju.
“Saya harap tempoh empat tahun belajar sambil mengambil contoh teknologi akan dapat memberikan manfaat kepada negara satu hari nanti,” luahnya.