Pendayung Terengganu, Daing Sulaiman Daing Suhaimi dinobat juara keseluruhan kategori kebangsaan lelaki TK1 Pahang Ocean Paddle International Challenge 2022 (POPIC 2022) di Pantai Teluk Cempedak semalam.
Lebih manis, Daing Sulaiman mengakhiri POPIC 2022 yang merupakan kejohanan kanu antarabangsa yang julung-julung kali diadakan di Pahang dengan muncul juara Peringkat 5 melibatkan laluan perlumbaan sejauh 20 kilometer di pantai peranginan terkenal itu.
“Syukur alhamdulillah atas kemenangan hari ini, saya memang tak menjangkakan dapat meraih gelaran juara keseluruhan dalam kategori ini (kebangsaan TK1 lelaki) sebab persaingan memang sengit sejak perlumbaan Peringkat 1 lagi.
“Kalau ikutkan, saya hanya letak sasaran tiga terbaik kerana saya sedar ada beberapa lagi peserta pilihan terutamanya Adib (Kamaruzrizan) dan Freddy (Anggang). Ini sudah mungkin rezeki saya untuk muncul juara,” katanya.
Selaku juara keseluruhan, Daing Sulaiman yang menjuarai perlumbaan Peringkat 4 di Pantai Cherating di sini pada Sabtu membawa hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM3,500 selain turut meraih RM800 selaku pemenang peringkat.
Bagi kategori kebangsaan TK2 lelaki, gandingan berpengalaman yang mewakili Pahang, Ahmad Azfaruddin Lukman-Imam Sujadi Satta membuktikan kejagoan mereka apabila muncul juara keseluruhan, sekali gus menggondol hadiah wang tunai RM5,000.
Bagi kategori kebangsaan TK2 wanita, pasangan adik beradik dari Terengganu, Norazita-Nursaibah Syahida Ibrahim menyambar gelaran juara keseluruhan selepas mereka menyapu bersih kemenangan dalam kesemua lima peringkat.
Pasangan itu nyata berada dalam kelas tersendiri untuk membawa pulang RM5,000 selaku juara keseluruhan selain turut mengumpul hadiah wang tunai RM7,500 hasil kejayaan mereka memenangi lima peringkat perlumbaan.
Bagi kategori inter-varsiti lelaki dan wanita masing-masing dimenangi pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Tuan Muhamad Hidzam Tuan Dolah-Mohd Azman Ibrahim dan gandingan dari Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Nur Aleya Nafisha Norhanafi-Alya Athirah Shaharaziz.
Selaku juara keseluruhan kategori yang melibatkan laluan sejauh 6 kilometer dalam kesemua lima peringkat itu, Tuan Muhamad Hidzam-Mohd Azman dan Nur Aleya Nafisha-Alya Athirah masing-masing merangkul hadiah wang tunai RM4,000.