MUNICH – Bayern Munich berdepan keputusan seri buat kali ketiga berturut-turut selepas diikat Stuttgart 2-2 pada aksi Bundesliga di Allianz Arena kelmarin sekali gus gagal meneruskan kecemerlangan aksi Liga Juara-Juara ketika menewaskan Inter Milan sebelum ini.
Sepakan penalti yang disempurnakan oleh pemain Stuttgart, Serhou Guirassy pada masa kecederaan menyaksikan Bayern terpaksa berpuas hati untuk mengutip satu mata biarpun mendahului menerusi Mathys Tel yang menjadi penjaring termuda di Bundesliga dan Jamal Musiala.
Pada aksi berkenaan, Bayern dilihat berjaya menguasai permainan dan berjaya menghasilkan enam percubaan tepat, ketika jurulatih mereka, Julian Nagelsmann membuat sistem penggiliran bagi persediaan menentang Barcelona pada pertengahan minggu nanti.
Keputusan itu nyata mengecewakan pemain tengah, Thomas Muller dan mengakui kegagalan untuk meraih kemenangan pada perlawanan itu menimbulkan rasa berang.
“Hari ini saya sangat marah, ini kali pertama untuk musim ini. Jika kami mahu terus mengekalkan aspirasi dan memenangi setiap perlawanan, kami perlu berjuang sehingga wisel penamat.
“Kami membenarkan Stuttgart menguasai bola pada 10 minit terakhir menyebabkan mereka selesa dan mudah memasuki kawasan penalti untuk mendapatkan sepakan berkenaan. Saya fikir kami perlu memberikan sesuatu yang berbeza selepas ini,” katanya.
Keputusan itu menyaksikan Bayern terlepas peluang untuk mengukuhkan kedudukan apabila mereka berkongsi 12 mata dengan tiga lagi pasukan, Hoffenheim, Freiburg dan Borussia Dortmund biarpun masih menguasai takhta liga.
“Jika kami mahu terus berada di puncak liga seperti yang kami idamkan, kami perlu melihat semula diri kami sendiri. Kami belum berada di puncak liga lagi sebenarnya,” jelas Muller.
– AGENSI