CADIZ – Barcelona mula menyerlahkan identiti sebenar selaku gergasi Sepanyol selepas sekali lagi meraih kemenangan besar apabila menewaskan Cadiz 4-0 di Nuevo Mirandilla awal pagi semalam.
Bagaimanapun, The Catalans berdepan situasi sukar apabila hanya memperoleh keempat-empat gol di babak kedua menerusi Frenkie de Jong, Robert Lewandowski, Ansu Fati dan Ousmane Dembele.
Pengendalinya, Xavi akui pasukannya tampil dengan aksi berbeza berbanding ketika meraih kemenangan 5-1 ke atas Viktoria Plzen di Liga Juara-Juara Khamis lalu.
“Ia menjadi kemenangan yang hebat kerana kami pastinya berdepan kesukaran untuk berkunjung ke sini. Ia mengekalkan kami di kelompok atasan liga.
“Siapapun yang diturunkan, kami sentiasa berada di kedudukan terbaik dan sudah pasti saya gembira dengan keputusan ini. Perkara penting dalam perlawanan ini adalah ketika mendapatkan jaringan pertama.
“Kami cukup bersabar dan kami juga akan terus melakukan perubahan sepanjang musim ini kerana ia penting bagi mengatasi masalah perggantungan dan kecederaan yang mungkin berlaku,” katanya.
Selain itu, satu jaringan yang dihasilkannya terus mengukuhkan kedudukan Lewandowski yang kini dilihat makin
menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu di Sepanyol. – AGENSI