fbpx

Amah curi barang kemas majikan bernilai RM69,000 diburu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
POLIS memburu pembantu rumah warga asing disyaki melarikan barang kemas majikannya.

SEBERANG PERAI – Polis giat memburu seorang pembantu rumah warga asing selepas disyaki melarikan barang kemas milik majikannya yang dianggarkan bernilai sehingga RM69,000 Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, kejadian itu berlaku di sebuah rumah di Taman Bukit, Bukit Mertajam di sini, namun disedari majikan terbabit selepas dua hari kemudian.

Cheng San berkata, berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di kawasan itu, suspek yang juga seorang wanita berusia 27 tahun itu didapati telah keluar dari rumah berkenaan kira-kira pukul 1 pagi iaitu pada hari kejadian sebelum menaiki sebuah kereta.

“Suami majikan tersebut iaitu pengadu kemudian membuat satu laporan polis selepas menyedari kehilangan pembantu rumah terbabit kira-kira pukul 6 pagi hari yang sama tanpa menyedari bahawa barangan kemas milik mereka turut dilarikan dalam kejadian itu.

“Antara barangan kemas yang didapati hilang dalam simpanan mereka adalah dua bentuk gelang emas bernilai RM12,000, satu set rantai emas bernilai RM22,000 dan rantai kahwin emas bernilai RM15,000.

“Turut dilaporkan hilang adalah empat pasang subang emas kecil bernilai RM6,000, dua utas rantai emas kecil bernilai RM3,000 serta sebuah loket emas dan seutas rantai emas panjang yang masing-masing dianggarkan bernilai RM1,000 dan RM10,000,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (IPD SPT), di sini hari ini.

TAN Cheng San pada sidang akhbar berhubung pembantu rumah diburu.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, siasatan lanjut mendapati, barang kemas tersebut sebelum ini telah disimpan di dalam sebuah almari berkunci, namun tiada sebarang kesan umpil dijumpai pada almari tersebut.

Cheng San berkata, ketika kejadian, majikan tersebut berada di rumah bersama dua anak mereka dan tidak menyedari kejadian berlaku kerana barangan kemas itu disimpan dalam satu bilik berasingan.

“Susulan kehilangan barang kemas itu, satu lagi laporan polis dibuat pada hari Khamis lalu di Balai Polis Bukit Mertajam,” katanya.

Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan kerana mencuri. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI