SHAH ALAM – Penyanyi rap dan komposer muda, Yonnyboii tidak menyangka Yonny (Deluxe Version) yang dirasakan memuatkan lagu ‘sampah’ membawa tuah apabila merangkul trofi Album Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM 23), malam tadi.
Lebih bermakna, kemenangan tersebut melayakkan pemilik nama sebenar Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, 24, itu menerima insentif Dana Kandungan Digital (DKD) berjumlah RM200,000 daripada Kementerian Komunikasi dan Mutimedia (K-KOM) berserta trofi.
Katanya, sebelum itu dia memang tidak memberikan perhatian terhadap pembikinan buah tangan yang menghimpunkan karya garapan lama itu selepas berasa kurang bagus hingga membuatkannya fokus terhadap karya baharu.
“Tak terfikir pun dapat merangkul trofi ini melihatkan kehebatan naskhah lain. Tambahan pula saya dan kawan-kawan yang terbabit dalam pembikinannya tidak meletakkan sasaran terhadap album ini kerana dibuat macam ‘main-main’.
“Album ini juga disempurnakan dalam tempoh dua bulan, sekali gus menjadi album paling pantas saya pernah siapkan. Proses rakaman dibuat di rumah saja berikutan fasa berkurung waktu itu.
“Sejujurnya seleksi yang dimuatkan dalam album ini saya pernah kategorikan sebagai ‘sampah’ dan diketepikan dahulu bagi memberikan fokus untuk single terbaharu.
“Jadi apabila pihak pengurusan meminta saya siapkan, baru saya teruskan kerja yang tertangguh. Ternyata Deluxe Version sangat berbaloi direalisasikan,” katanya ketika ditemui selepas AIM23.
Malah, pencipta muda berbakat besar itu turut mengakui perspektif terhadap sesuatu karya terus berubah yang mendorongnya menghasilkan naskhah lebih berkualiti pada masa datang.
“Tiada yang mustahil dan bagi saya setiap pengkarya perlu berani mengetengahkan hasil ciptaan mereka. Mungkin biasa pada padangan mata sendiri, tetapi unik dilihat orang lain.
“Kerja muzik adalah tugasan yang diamanahkan untuk saya. Walaupun harus serius, muzik juga tempat untuk bergembira. Kalau kerja tanpa rasa seronok, itu akan membuat saya tertekan.
“Tanggungjawab saya selepas ini adalah untuk terus menghasilkan karya yang lebih baik dan kemenangan ini membuktikan, setiap usaha pasti akan peroleh kejayaan,” katanya.
Sementara itu, insentif DKD yang diraih Yonnyboii pada malam acara yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu adalah sebagai galakan kepada penggiat industri kreatif.
Jumlah keseluruhan dana yang disalurkan pada AIM23 adalah sebanyak RM320,000 dengan RM50,000 diberikan untuk Lagu Terbaik yang dimenangi Goodbye Hello nyanyian Syamel dan Ernie Zakri.
Seorang lagi penerima dana sama dengan jumlah RM50,000 adalah untuk Artis Baharu Terbaik yang dimenangi Vaneesa Reynauld, dan RM20,000 lagi diserahkan kepada pemenang Video Muzik Terbaik menerusi lagu Gatal (Janna Nick). – KOSMO! ONLINE