fbpx

79,549 pegawai, anggota keselamatan sedia hadapi peralihan monsun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri (dua dari kanan) selepas mempengerusikan mesyuarat JPBD.

PUTRAJAYA – Seramai 79,549 pegawai dan anggota agensi keselamatan serta penyelamat di semua peringkat berada dalam keadaan bersedia sepenuhnya dengan sokongan pelbagai aset bagi menghadapi monsun timur laut yang dijangka berlaku bermula November hingga Mac 2023.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pada masa sama, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dipengerusikan pegawai daerah juga diaktifkan segera selain peranannya di semua lokasi bencana diperkasakan bagi menghadapi peralihan monsun itu.

“JPBD mempunyai fungsi penting untuk melaksanakan kerja-keja menyelamat serta penyampaian bantuan di lokasi bencana manakala Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menyelaras di peringkat Pusat serta negeri.

“Dalam usaha memantapkan kesiapsiagaan Keluarga Malaysia, sebanyak 155 program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) melibatkan 12,534 perserta daripada ketua komuniti, belia dan
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat JPBD di sini tadi.

Bagi aspek pengurusan mangsa pula, Ismail Sabri berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah
bersiap sedia mengaktifkan sebanyak 6,010 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negara yang mempunyai kapasiti penempatan seramai 1,620,855 mangsa.

“Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2.59 juta untuk menaik taraf kemudahan asas di semua PPS selain JKM turut menyediakan makanan retort dalam tempoh 24 jam pertama serta keperluan bayi dan warga emas kepada mangsa.

“Kementerian Pendidikan pula diarahkan supaya asrama-asrama sekolah yang tidak dihuni pelajar ketika bencana digunakan orang ramai yang terjejas khususnya untuk memberi keselesaan kepada warga emas, anak-anak kecil dan wanita,” jelasnya.

Perdana Menteri memberitahu, NADMA juga telah mengagihkan sebanyak 59,350 kit makanan dan 127,272 buah ‘cubicle tent’ bagi memastikan kelancaran pengurusan penempatan di PPS dan kebajikan mangsa apabila berlakunya bencana.

“Dalam masa yang sama, JPBN dan JPB Daerah perlu bersedia lebih awal bagi memastikan bantuan bekalan sampai di semua lokasi terlibat untuk mengelakkan keadaan lebih sukar sekiranya jalan terputus dan sebagainya.

“Sebanyak RM8 juta diperuntukkan untuk Pengurusan Pengoperasian Bencana kepada JPBN meliputi kegunaan 160 daerah. Kerajaan juga memberikan RM4.8 juta bagi penyediaan 320 buah bot fiber bersama enjin untuk daerah-daerah terlibat,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri menjelaskan, sebanyak 22,622 aset air seperti bot, treler bot dan jet ski milik semua agensi turut digerakkan untuk menghadapi musim monsun itu.

“Semua aset itu perlu dikoordinasi dengan sebaik mungkin supaya kerja-kerja menyelamat dilaksanakan dengan berkesan.JPBN dan JPBD juga perlu memastikan sistem amaran awal turut berfungsi dengan baik.

“Mesyuarat juga bersetuju supaya bunyi amaran awal berbeza dengan bunyi siren yang lain seperti
ambulans dan kereta peronda polis bagi mengelakkan kekeliruan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI