ALOR SETAR – Sebanyak 15 kenderaan musnah dalam kebakaran melibatkan bengkel Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, pagi ini.
Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah dalam kenyataan memaklumkan, pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 4.53 pagi.
Difahamkan 15 kenderaan yang terbakar itu terdiri daripada 10 kereta dan lima motosikal berkuasa tinggi.
“Sebaik tiba di lokasi didapati api sedang marak. Komander operasi kemudian mengarahkan agar anggota memakai alat pernafasan sebelum melakukan usaha pemadaman menggunakan lapan aliran hos.
“Kebakaran di bangunan berkeluasan 10.6 meter x 45.7 meter itu berjaya dipadamkan dan peratusan kebakaran dianggarkan sebanyak 80 peratus,” katanya.
Kata kenyataan itu, tiada mangsa yang cedera dalam kejadian tersebut.
“Setakat ini punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE