ROMPIN – Gara-gara gagal memotong dua buah kereta menyebabkan seorang penunggang motosikal maut selepas bertembung dengan sebuah pacuan empat roda di Kilometer 63 Jalan Ibam-Rompin di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohd. Azahari Mukhtar berkata, kejadian kira-kira pukul 7.15 pagi itu berlaku ketika mangsa Lokman Ahad Zulkeflin,27, dalam perjalanan dari arah Rompin ke Muadzam Shah.
“Apabila sampai di tempat kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR memotong kereta jenis Proton Wira dan Nissan Almera sebelum berlanggar dengan kenderaan jenis Nissan Navara dari arah bertentangan.
“Pacuan empat roda berkenaan kemudian hilang kawasan dan mengheret motosikal seterusnya melanggar kereta jenis Nissan Almera dan Proton Saga di arah bertentangan,”katanya di sini hari ini.
Ujarnya, penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah manakala pemandu kereta Nissan Almera patah kedua kaki dan pemandu
pacuan empat roda mengalami pendarahan di mulut.
Menurutnya mayat mangsa dihantar ke Hospital Rompin untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan 1987. – KOSMO! ONLINE