fbpx

Lelaki meninggal dunia ketika mendaki Bukit Haji Yusuf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azlan meninggal dunia ketika melakukan aktiviti mendaki Bukit Haji Yusuf di Kampung Berapit, Tikam Batu dekat Sungai Petani, hari ini.

SUNGAI PETANI – Seorang lelaki meninggal dunia ketika melakukan aktiviti mendaki Bukit Haji Yusuf di Kampung Berapit, Tikam Batu dekat sini pada pagi tadi.

Mangsa, Azlan Ahmad yang berusia 45 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh seorang pendaki.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 11 pagi tadi.

Katanya, mangsa yang merupakan pekerja Penang Port dan tinggal di Kampung Alor Bemban, Tikam Batu melakukan aktiviti tersebut berseorangan pada pukul 7 pagi tadi.

“Seorang pendaki yang sedang menuruni bukit tersebut kemudian ternampak mangsa dalam keadaan duduk dan kepenatan sambil memegang dadanya.

“Pendaki terbabit terus turun ke kaki bukit untuk meminta bantuan rakan pendaki lain dan sebaik kembali semula ke lokasi, mangsa didapati telah terbaring tidak sedarkan diri,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, saksi kemudian menghubungi ambulans dan mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang tiba di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan keputusan hasil ujian saringan mendapati lelaki terbabit positif Covid-19,” ujarnya.

Tambahnya, semakan awal dengan adik mangsa mendapati lelaki itu tidak mempunyai masalah kesihatan penyakit kronik walaupun pernah disahkan sebagai positif Covid-19 sebelum ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI