fbpx

Lebih 50,000 sukarelawan dilatih sebagai persiapan hadapi bencana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abd. Latiff (tengah) merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Pejabat Pertahanan Awam Negeri Kelantan di sini hari ini. - FOTO /KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

KOTA BHARU – Kerajaan sudah melatih lebih 50,000 sukarelawan di peringkat komuniti sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya bencana dan kejadian kecemasan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad berkata, kesemua sukarelawan itu dilengkapi dengan ilmu, kemahiran dan pengurusan sekiranya berlaku kecemasan.

“Penglibatan sukarelawan itu mampu membantu memudahkan penugasan anggota penyelamat sekiranya bencana berlaku.

“Dalam pada itu, kerajaan telah membuat persediaan daripada pelbagai sudut melibatkan kelengkapan logistik sedia ada yang akan digunakan untuk menghadapi bencana selain penambahan beberapa aset lain,” katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Pejabat Negeri Pertahanan Awam Negeri Kelantan di Tunjong di sini hari ini.

Mengulas lanjut, menurut Abd. Latiff, bagi menghadapi peralihan Monsun Timur Laut yang dijangka bermula pada pertengahan November depan, kerajaan sudah membuat persediaan lebih rapi daripada pelbagai aspek.

Katanya, segala cadangan dan persiapan akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Bencana Nasional yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob esok.

“Persediaan kali ini akan diuruskan melalui satu platform yang akan menghubungkan keseluruhan jabatan termasuk sukarelawan di peringkat komuniti.

“Kita bergerak secara bersama melalui satu ekosistem yang akan menguruskan persediaan dari awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” ujarnya.

Tambahnya, penyaluran maklumat turut dibantu oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana yang akan bertindak melaporkan secara terus dari lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI