SEBERANG PERAI – Kementerian Kerja Raya (KKR) merancang untuk menambah sistem lampu diod pemancar cahaya (LED) dan sistem lampu isyarat pintar menerusi peruntukan Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan bulan depan.
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kedua-dua sistem terbabit menumpukan kepada isu keselamatan dan kesejahteraan pengguna jalan raya.
“Kita fokuskan penambahbaikan jalan yang menumpukan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya termasuk pemasangan lampu jalan LED yang lebih jimat selain mewujudkan sistem lampu isyarat pintar.
“Cadangan itu kita dah kemukakan kepada Kementerian Kewangan dengan harapan ia dapat ditambah baik supaya dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas memandangkan sistem ini lebih efisien berbanding lampu isyarat lama,” katanya selepas merasmikan projek membina jalan dari dua lorong kepada empat lorong di Permatang Tok Elong, Kepala Batas di sini hari ini.
Projek terbabit adalah salah satu daripada empat projek yang telah diluluskan bawah Rancangan Malaysia Ke-11(RMK-11) bernilai RM340,390 juta.
Mengulas lanjut, beliau berkata projek Pan Borneo Projek Fasa 2 Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) serta Projek Lebuh Raya Trans Borneo (LTB) yang menghubungkan Sarawak, Sabah, Brunei dan Kalimantan akan diteruskan mengikut perancangan.
“Selain itu, pembangunan di sempadan antara Sabah dan Sarawak turut akan dilaksanakan meliputi sempadan utara dan Thailand,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE