JAKARTA – Jurucakap Badan Perisikan Negara Indonesia (BIN), Wawan Hari Purwanto menafikan pembocoran beberapa siri surat kepada Presiden Joko Widodo (Jokowi) seperti yang didakwa seorang penggodam bergelar Bjorka, lapor stesen penyiaran CNNIndonesia semalam.
Menurut Wawan, dakwaan itu adalah palsu, manakala sistem keselamatan BIN tidak diceroboh seperti yang ditularkan.
“Itu semua dakwaan palsu. Semua dokumen dalam simpanan BIN selamat dan terkawal,” tegas Wawan.
Tambahnya, semua dokumen BIN terutama yang ditujukan kepada Presiden menggunakan banyak lapisan keselamatan.
Malah, semua dokumen itu juga menggunakan kod samaran yang mustahil untuk ditembusi orang luar.
Bukan itu sahaja, Wawan turut memastikan dokumen yang ditujukan kepada Presiden Indonesia tidak dibuat dalam bentuk surat biasa kerana ia dihasilkan menggunakan enkripsi atau kata laluan yang kerap ditukar.
“Jadi, saya jamin dokumen BIN kepada Presiden (Jokowi) tidak bocor,” katanya.
Terdahulu, penggodam Bjorka mengaku menerima beberapa surat sulit yang ditujukan kepada Jokowi termasuk daripada BIN.
Dia mendakwa dokumen itu digodam pada September 2022 dan terdiri daripada 679,180 data dengan kapasiti 40 Megabite (MB) dan 189 MB. – Agensi