LONDON – Beberapa bekas pemain kebangsaan England mengkritik keputusan Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk menunda sepenuhnya aksi minggu ini susulan kemangkatan Ratu Elizabeth II pada awal pagi Jumaat lepas.
Sebagai rekod, pihak EPL tetap bertegas untuk membatalkan 10 perlawanan minggu ini meskipun mendapat lampu hijau oleh pihak kerajaan untuk menganjurkan acara sukan seperti biasa.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, EPL percaya sekarang adalah masa untuk berkabung bagi menghormati Ratu Elizabeth II yang banyak berjasa kepada nusa dan bangsa Britain secara keseluruhan.
Namun, bekas penyerang Liverpool, Peter Crouch menganggap keputusan EPL sebagai salah satu tindakan yang tidak wajar kerana jika perlawanan dianjurkan seperti biasa, pemain dan penyokong sudah pasti melakukan penghormatan lebih baik.
“Cuba bayangkan kalau aksi diteruskan, sudah pasti kita dapat memberi penghormatan yang boleh ditunjukkan kepada jutaan peminat EPL di seluruh dunia.
“Selain semua orang perlu memakai lilitan hitam di lengan sebagai tanda berkabung dan menyanyikan lagu kebangsaan sebelum perlawanan. Saya rasa itu adalah tindakan yang lebih wajar berbanding batalkan perlawanan secara keseluruhan,” katanya.
Pandangan tersebut dipersetujui oleh legenda Manchester United, Gary Neville yang mengakui apa yang dilakukan oleh EPL adalah disebabkan tidak berfikiran panjang.
“Sukan adalah hak rakyat dan sepatutnya menjadi medan terbaik untuk mereka menunjukkan penghormatan kepada Ratu Elizabeth II,” katanya. – AGENSI