fbpx

AS catat rekod sejuta pemindahan organ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemindahan organ pertama yang berjaya dilakukan di AS adalah pada tahun 1954 melibatkan buah pinggang. - Shutterstock

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) merekodkan satu juta pemindahan organ kelmarin sekali gus pencapaian bersejarah bagi prosedur perubatan berkenaan yang telah berjaya menyelamatkan beribu-ribu nyawa, lapor stesen penyiaran ABC.

Rekod baharu itu disahkan pada pukul 12.50 tengah hari (waktu tempatan) oleh organisasi perolehan dan pemindahan organ bukan bermotifkan keuntungan, United Network for Organ Sharing (UNOS).

Bagaimanapun, UNOS tidak memberi maklumat lanjut mengenai organ kesejuta yang menyumbang kepada pencapaian tersebut.

Pemindahan organ pertama yang berjaya,  berlaku pada tahun 1954 di Brigham and Women’s Hospital,  Boston. Sepasukan doktor memindahkan buah pinggang daripada penderma berumur 23, Ronald Herrick  kepada saudara kembar seirasnya, Richard yang mengalami kegagalan buah pinggang kronik.

Pakar bedah utama, Dr. Joseph Murray menerima Hadiah Nobel Perubatan untuk peranannya dalam prosedur itu.

Sehingga awal tahun 1980-an, bilangan pemindahan organ setiap tahun kekal rendah. 

Bagaimanapun, kejayaan dalam pemindahan organ selain buah pinggang seperti jantung, hati, dan pankreas di samping penggunaan ubat antipenolakan,  membawa kepada peningkatan prosedur pemindahan organ.

Sejak itu, pemindahan organ telah menjadi prosedur yang jauh lebih biasa berbanding pada tempoh permulaan ia diperkenalkan.

Lebih 500,000 pemindahan organ telah dilakukan sejak 2007 dan pada tahun 2021, lebih  41,000 prosedur tersebut dilakukan iaitu jumlah tertinggi pernah direkodkan. Angka 41,000 itu juga dua kali ganda lebih besar daripada yang berlaku 25 tahun lalu.

Meskipun UNOS berjaya membantu lebih ramai pesakit menjalani pembedahan pemindahan organ,  namun organisasi itu masih bergelut memastikan setiap yang memohon menerima peluang kedua bagi mendapatkan pengganti organ mereka yang rosak.

Kira-kira 5,000 pesakit meninggal dunia ketika nama mereka masih dalam senarai menunggu pada setiap tahun.

Kajian yang diterbitkan dalam Journal of the American Society of Nephrology pada Oktober 2020 mendapati bahawa banyak buah pinggang penderma di AS yang dibuang dengan sengaja. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI