fbpx

Wajib pakai pelitup muka ke sekolah jika tidak sihat – KPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) masih mewajibkan pemakaian pelitup muka ke sekolah bagi individu yang bergejala seperti demam, batuk dan selsema manakala pemakaiannya di luar bangunan kawasan institusi pendidikan pula adalah amat digalakkan.

Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata, individu yang positif Covid-19 semasa berada di institusi pendidikan atau asrama wajib memakai pelitup muka semasa dirujuk ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) atau fasiliti kesihatan untuk pemeriksaan kesihatan.

“Di samping itu, murid diwajibkan memakai pelitup muka semasa menaiki bas atau van sekolah atau perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas, kereta api, teksi termasuk perkhidmatan e-hailing.

“Ketetapan ini turut terpakai untuk semua institusi pendidikan bawah KPM serta disarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk institusi pendidikan bawah kerajaan negeri,” katanya hari ini.

Terdahulu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pemakaian pelitup muka sama ada di dalam atau di luar bangunan sekolah adalah tidak lagi diwajibkan namun pemakaiannya adalah digalakkan.

“Esok sekolah-sekolah di negeri kumpulan A akan memulakan sesi persekolahan dan lusa adalah untuk negeri kumpulan B jadi ramai yang bertanya apakah ketetapan KPM berkaitan pemakaian pelitup muka di kawasan sekolah.

“Pemakaian pelitup muka adalah tidak diwajibkan namun KPM menggalakkan pemakaiannya sewaktu berada di dalam kawasan sekolah khususnya di tempat yang ramai orang,” katanya menerusi satu video yang dimuat naik ke platform media sosial hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan bahawa pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan dalam bangunan atau di tempat tertutup berkuat kuasa serta-merta bagaimanapun pemilik premis diberi pilihan untuk terus meminta orang ramai memakainya di dalam premis mereka.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI