PETALING JAYA – Pastinya ramai teruja menanti pertembungan Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Final Piala FA 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.
Tidak ketinggalan pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun yang berasal dari Terengganu turut membuat hantaran di laman Facebook menggambarkan debaran menanti perlawanan tersebut menggunakan dialek negeri kelahirannya.
Asma’ yang dikenali dengan imej serius ketika berdakwah berjaya menarik perhatian netizen yang terhibur dengan sisi berbeza dirinya itu.
“Debbor weih malang ning. Wassernya macang mennang jer sek kiter boh. Geng JDT janganglah ‘unfollow’ kite pulok (Berdebarnya malam ini rasanya macam geng kita menang. Geng JDT janganlah ‘unfollow’ kita pula),” katanya.
Hantaran tersebut turut disertakan dengan tanda pagar ‘webleedblackandwhite’ .
Susulan itu ramai pengikutnya dari kedua-dua negeri tidak ketinggalan meninggalkan komen balas.
“Terkejut baca status ustazah. JDT sini. Tak apa ustazah sukan je ni. Tetap sayang ustazah,” ujar Nur Ain.
“Dua kali baca status ni tadi. Macam tak percaya ustazah tulis. Harap Terengganu menang ustazah,” balas Zati Izatie.
“Johorean (orang Johor) hadir ni ustazah. Insya-Allah. Kita raikan keduanya sekali,” ujar Azie Aliman.
Dalam masa sama, Asma’ turut meninggalkan pesanan kepada semua penyokong agar mendahulukan solat.
“Semayyang (solat) nombor satu tuh,” pesannya. -KOSMO! ONLINE