COMEL. Itu ungkapan pertama yang hadir saat terdengar sebuah melodi dalam TikTok dengan versi ‘speed up’ dengan vokal penyanyinya diubah menjadi ‘chipmunk’.
Awalnya, penulis beranggapan lagu berkenaan merupakan sebuah ‘remix’ parodi.
Hasil carian dalam YouTube, bahagian lirik lagu yang viral dalam TikTok berbunyi ‘tiba-tiba aku melayang, menembus lapisan awan’ sebenarnya dendangan seorang penyanyi sebenar.
Menariknya, identiti penyanyi asal lagu diberi judul Tiba-Tiba itu rupa-rupanya seorang kanak-kanak perempuan yang baru berusia 12 tahun.
Quinn Salman, penyanyi cilik dari negara jiran Indonesia menjadi perhatian gara-gara lagunya tiba-tiba meledak dalam TikTok.
Bunyi lagunya yang diubah dalam versi ‘speed up’ diguna pakai hampir tiga juta pengguna dalam platform berkenaan sebagai ‘backsound’ variasi video kreatif.
Sekali dengar, terus melekat dalam kepala kerana muziknya yang rancak dan ceria. Tiada soal ‘art berat’ dalam lagu ini, cuma tentang sebuah karya anak-anak kecil yang bahagia dan gembira menjalani kehidupan dalam mimpi indah.
Tentang mimpi
Mengagumkan. Pada usia semudanya, Quinn dikurniakan bakat mencipta sendiri sebuah lagu yang cocok didengar bukan sahaja buat rakan sebaya, bahkan berjaya menambat pendengaran orang dewasa.
Biarpun dikategorikan sebagai lagu kanak-kanak tetapi harus diakui, penulisan lirik Quinn melambangkan kedewasaannya. Penulisan bait-bait liriknya lengkap, tanpa ada singkatan mahupun percampuran bahasa lain.
Senang kata, lirik lagu Tiba-Tiba nukilan Quinn cukup indah dan mudah diterima telinga.
Nada melodinya juga ringkas dan ringan tetapi cukup mendamaikan jiwa.
Tiba-Tiba sebenarnya diinspirasikan Quinn tentang sikap normal kanak-kanak yang kadangkala gemar merajuk sehingga akhirnya tertidur, seterusnya bermimpi bertemu bidadari yang cantik.
Mendengar jalan ceritanya sahaja sudah cukup mencuit hati mengingatkan tentang perangai anak-anak, bahkan barangkali ada antara kita pernah bersikap sedemikian.
Bahagian hujung liriknya menggambarkan betapa jiwa kanak-kanak itu sebenarnya sederhana. Selesai merajuk dan tangis, mereka terlelap sambil bermimpi indah.
Keesokan paginya bangun dengan ‘mood’ yang baharu seperti liriknya yang berbunyi:
“Tiba-tiba aku terbangun dari mimpi indahku. Disambut senyuman mentari. Kuhempaskan semua sedihku. Menyambut hari yang baru. Bahagia rasa hatiku.”
Nukilan sebegitu sangat dekat dengan jiwa dan kehidupan orang dewasa. Memulakan hari baharu dengan aura bahagia usai semalam ditumbuhi banyak gundah.
Sejak rasmi dilancarkan pada Jun lalu, Tiba-Tiba menuai pujian positif peminat dewasa yang mengagumi bakat si cilik kelahiran Jakarta itu.
Benar kata mereka, sudah jarang lagu-lagu penyanyi cilik mendapat tempat, sekali gus mencipta trending luar biasa seperti apa yang sedang dicapai Quinn ketika ini.
Harapan ramai, agar nanti Quinn meneruskan momentum menghasilkan lagu sesuai dengan umurnya tetapi mampu menawan jiwa pendengar dari pelbagai lapisan umur.