WASHINGTON – Pentadbiran Makanan dan Ubat Amerika Syarikat (FDA) meluluskan rawatan melenyapkan kedutan baharu yang boleh menjadi pesaing kepada suntikan Botox, lapor akhbar New York Post kelmarin.
Suntikan Daxxify keluaran syarikat Revance Therapeutics Inc yang dikenali juga sebagai daxibotulinumtoxinA itu menjadi alternatif kepada Botox.
Ia dikatakan mampu mengelakkan kulit daripada kendur untuk tempoh yang lebih lama.
Jualannya dijangka mencecah AS$1 bilion (RM4.5 bilion) menjelang 2030, demikian menurut penganalisis firma Cowen Inc., Ken Cacciatore.
“Ia adalah penting kerana tahan lebih lama daripada Botox,” kata pengasas dan pengarah Klinik Dermatologi Russak NYC, Dr. Julie Russak.
Suntikan Botox mengekalkan ketegangan kulit selama kira-kira empat bulan,b namun Daxxify mampu bertahan 50 peratus lebih lama atau enam bulan.
Kedua-dua rawatan kedutan itu mempunyai bahan teras molekul botulinum jenis A tetapi Botox menggunakan dua protein aksesori untuk penstabilan, manakala Daxxify menggunakan peptida.
“Itu yang menjadikan penyerapan lebih kuat dan ketahanan lebih lama. Ia pada asasnya masuk ke dalam sel sedikit lebih baik dan mengikat sedikit lebih kuat,” katanya.
Russak menjangkakan pesakit perlu membayar untuk rawatan hanya kira-kira dua kali setahun berbanding purata semasa tiga hingga empat kali setahun untuk Botox. – Agensi