LANGKAWI – Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah mencadangkan penambahan bilangan ahli bagi mewakili negeri ke Dewan Negara bagi memperkasakan peranannya.
Titah baginda, cadangan itu selaras dengan semangat perlembagaan seperti dicadangkan oleh Laporan Suruhanjaya Reid bagi mengimbangi Parlimen melalui Dewan Negara yang membawa suara negeri.
“Mengikut Fasal (4) Perkara 45 Perlembagaan Malaysia, Parlimen boleh melalui undang-undang menambah bilangan ahli yang dipilih oleh negeri dari dua menjadi tiga dan mengurangkan bilangan ahli dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Perenggan (a) dalam peruntukan tersebut secara khususnya memperuntukan penambahan bilangan ahli yang dipilih oleh negeri iaitu daripada dua menjadi tiga,” titah baginda.
Sultan Sallehuddin bertitah demikian ketika merasmikan Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Se-Malaysia 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) di sini, hari ini.
Titah Sultan Kedah, baginda percaya peranan Dewan Negara perlu diperkasakan semula agar suara negeri yang membentuk Persekutuan Malaysia lebih didengari di Parlimen dan berperanan mengimbangi fungsi Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, baginda bertitah, setakat ini, perkara itu masih belum dilaksanakan lagi.
Baginda turut berharap cadangan tersebut boleh dipertimbangkan dan diteliti bagi pelaksanaannya pada masa hadapan. – KOSMO! ONLINE.