PUTRAJAYA – Tiga individu termasuk masing-masing seorang berpangkat inspektor dan sarjan polis ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam kerana disyaki meminta rasuah berjumlah RM100,000 daripada seorang pegawai polis kononnya bagi menutup kes yang sedang disiasat.
Sumber berkata, seorang lagi suspek yang ditahan adalah pengurus pentadbiran di sebuah syarikat yang berperanan sebagai orang tengah bagi meminta dan menerima wang rasuah itu.
Menurutnya, pengurus syarikat berkenaan ditahan pagi semalam di sekitar Kuala Lumpur ketika menerima wang rasuah berjumlah RM50,000 iaitu sebahagian daripada jumlah yang diminta daripada mangsa.
“Susulan itu, SPRM menahan seorang inspektor dan sarjan polis berusia lingkungan 30-an antara pukul 7 petang hingga 12 tengah malam semalam di sekitar ibu negara bagi membantu siasatan,” katanya
Tambah beliau, pengurus syarikat tersebut telah direman selama empat hari bermula semalam sehingga 12 September setelah pihak SPRM membuat permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya.
Bagaimanapun, katanya, pegawai dan anggota polis tersebut telah dibebaskan setelah keterangan mereka diambil.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan mengenai penahanan tersebut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. -KOSMO! ONLINE