fbpx

Sampah dalam longkang punca banjir kilat di Kota Bharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosnazli (kiri) menyerahkan baja organik kepada penduduk Pangsapuri Bandar Baru Kubang Kerian, Kota Bharu yang menyertai Program Local Agenda 21, Program Kebun Kejiranan/Komuniti hari ini. ROSLIZA MOHAMED

KOTA BHARU – Sikap segelintir masyarakat yang tidak mengutamakan aspek kebersihan dengan membuang sampah ke dalam longkang merupakan antara punca berlakunya banjir kilat di beberapa kawasan di daerah ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Rosnazli Amin berkata, berdasarkan keadaan semasa, pihaknya mendapati kawasan persekitaran terutamanya longkang dipenuhi sampah atau tanah sehingga menutupi saliran air.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan beberapa kawasan berlaku banjir kilat terutamanya semasa hujan lebat.

“Meskipun kerja-kerja menyelenggara sampah di longkang merupakan tugas pihak berkuasa tempatan, adalah wajar penduduk setempat turut menjaga kebersihan.

“Sehubungan itu, semua penduduk disarankan agar bersama-sama menjaga kebersihan bagi mengelakkan kejadian banjir kilat terutamanya di kawasan pentadbiran MPKB-BRI,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Local Agenda 21, Program Kebun Kejiranan/Komuniti di Pangsapuri Bandar Baru Kubang Kerian di sini hari ini.

Dalam majlis itu, sebanyak 350 plastik baja arganik diagihkan kepada seramai 240 keluarga di pangsapuri tersebut.

Mengulas lanjut, Rosnazli berkata, menjelang musim tengkujuh pada penghujung tahun ini, MPKB-BRI telah menjalankan persediaan awal dengan memantau keadaan longkang untuk memudahkan kerja-kerja penyelenggaraan.

Dalam perkembangan lain, menurutnya, MPKB-BRI terus memperkasakan semula program semangat kejiranan di kawasan pangsapuri dalam usaha untuk menjalinkan ukhwah dan kerjasama bagi menceriakan persekitaran melalui aktiviti seperti bercucuk tanam.

“Program ini sebenarnya sudah lama diadakan di bawah portfolio Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan Dan Kesihatan negeri dan MPKB-BRI telah mengambil langkah memperkasakan semula.

“Dengan toleransi dan semangat kejiranan melalui program ini ia dapat menceriakan kawasan sekitar pangsapuri. Program berkenaan juga akan diperluas di kawasan taman perumahan lain sekitar Kota Bharu,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI