fbpx

Pusat pemulihan kanak-kanak autisme diperluas seluruh negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RINA bergambar dengan peserta selepas merasmikan Program Sentuhan Kasih OKU Prihatin Rakyat di Cyberjaya, Selangor hari ini. - Foto AMREE AHMAD

CYBERJAYA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berhasrat menambah bilangan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Autisme Berkefungsian Tinggi (HFA).

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, pertambahan tersebut amat wajar bagi memberi peluang pendidikan berkualiti kepada kanak-kanak istimewa berkenaan di negara ini.

“Kita (kementerian) lihat memang ada keperluan besar kepada pusat sebegini kerana mereka ini sebenarnya memiliki IQ (tahap kecerdasan) amat tinggi,” katanya ketika ditemui pemberita.

Terdahulu, beliau merasmikan PPDK HFA Cyberjaya di Kelab Komuniti Taman Tasik di sini yang turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Datuk Shaharuddin Abu Sohot bersempena Program Sentuhan Kasih Orang Kurang Upaya (OKU) Prihatin Rakyat.

Pada program tersebut, beliau turut menyampaikan bantuan kewangan tambahan kerajaan untuk manfaat kepada 22 PPDK dengan sumbangan keseluruhannya berjumlah RM225,679 selain menyerahkan kad OKU yang baru diluluskan kepada lima individu dari Daerah Sepang.

Mengulas lanjut, Rina berkata, berdasarkan rekod JKM setakat 30 Jun lalu terdapat 36,601 orang autisme berdaftar di seluruh Malaysia dengan 24,748 orang daripadanya berusia di bawah 13 tahun.

“Justeru adalah menjadi hasrat pihak kementerian agar lebih banyak PPDK HFA ditubuhkan di seluruh negara bagi mereka diberi peluang pemulihan dan pendidikan yang sama,” katanya.

PPDK ujarnya merupakan salah satu inisiatif di bawah JKM yang menumpukan kepada latihan khusus dengan premis dan kemudahan bagi mengintegrasikan OKU ke dalam masyarakat.

Penubuhan PPDK HFA pula lebih memberikan fokus kepada anak-anak dikenal pasti autisme peringkat satu oleh pakar perubatan daripada mereka yang berusia 8 tahun hingga 12 tahun.

Sepanjang tahun ini kata Rina, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM102.5 juta bagi usaha pelaksanaan pelbagai program melibatkan kesemua 568 PPDK seluruh negara.

Langkah proaktif itu adalah perlu kerana banyak kes murid autisme yang berasa trauma dibuli atau diejek di sekolah biasa dan akhirnya mereka enggan sambung belajar kerana tertekan.

Sedangkan ujar beliau, IQ kanak-kanak OKU berkenaan adalah luar biasa dengan ramai yang berjaya dalam bidang profesional setelah mereka diberikan peluang pendidikan khusus. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI