BAGAN SERAI – Polis meminta orang awam yang mempunyai maklumat insiden kemalangan yang menyebabkan seorang penunggang motosikal maut di KM184.7 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara awal pagi tadi agar tampil membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, sesiapa yang melihat tentang insiden itu boleh tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd. Khairul Hanafi Hanapi di talian 013-6200564.
“Semasa kejadian mangsa, Muhammad Shafiq Abu Bakar, 28, beralamat dari Kampung Belakang Pekan, Sungai Kechil Hilir, Bandar Baharu, Kedah menunggang motosikal jenis Honda EX5 bernombor plat PKG1773.
“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku lebih kurang pukul 6.30 pagi hari ini semasa mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang dari Cameron Highlands ke rumahnya di Bandar Baharu, Kedah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa gagal mengawal motosikalnya dengan baik lalu terjatuh di lokasi kejadian.
“Impak dari kemalangan itu, mangsa disahkan maut di tempat kejadian oleh pegawai perubatan. Pihak keluarga simati telah dimaklumkan dan usaha mengesan saksi bebas sedang dilakukan,” katanya.
Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE.