KUALA LUMPUR – Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) menepati ramalan apabila berjaya menjuarai trofi Piala FA musim ini selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) dengan kemenangan 3-1 pada aksi final yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.
Pada perlawanan tersebut, skuad Harimau Selatan kendalian Hector Bidoglio membariskan kesebelasan terbaik dengan menyenaraikan jentera serangan utama terdiri daripada Bergson Da Silva, Leandro Velazquez dan Arif Aiman Hanapi.
Skuad JDT bermula garang apabila pemain muda sensasi, Arif Aiman melakukan rembatan pada minit ke-11 yang berjaya menggegarkan palang skuad Sang Penyu.
Pasukan TFC kendalian Nafuzi Zain turut memiliki peluang terbaik selepas kapten pasukan, Kipre Tchetche gagal menyempurnakan peluang satu lawan satu selepas rembatannya ditepis Farizal Marlias pada minit ke-24.
Gol yang ditunggu akhirnya tiba apabila Arif Aiman bijak menyempurnakan peluang selepas menerima hantaran Leandro Velazquez untuk menewaskan penjaga gol TFC, Rahadiazli Rahalim pada minit ke-33.
Bersambung pada babak kedua, JDT meneruskan momentum cemerlang dengan melakukan asakan awal sehingga memberi tekanan buat pertahanan Sang Penyu.
JDT semakin selesa apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas Rahadiazli melakukan kekasaran yang berjaya disudahkan oleh Bergson Da Silva pada minit ke-62.
Pasukan TFC yang memakai jersi hitam kembali bernyawa selepas Tchetche berjaya merapatkan kedudukan dengan menjaringkan gol pada minit ke-76 untuk menewaskan penjaga gawang JDT, Farizal Marlias.
Namun, kegembiraan TFC tidak bertahan lama selepas Bergson sekali lagi menjadi duri dalam daging pasukan itu dengan meledak gol kedua peribadinya berselang tiga minit kemudian untuk memastikan JDT selesa mendahului 3-1.
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan tetapi kedudukan kekal sehingga wisel penamat.
Sebagai rekod, ini adalah kejuaraan Piala FA kedua dalam sejarah kelab JDT yang kali terakhir bergelar juara pada edisi 2016. – KOSMO! ONLINE